Gambar kenangan selepas majlis penganugerahan
KOTA KINABALU: Majlis Penganugerahan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Program Recognition of Prior Experiential Learning (RPEL) dan Sijil PERHEBAT di Sabah menyerlahkan komitmen berterusan kerajaan dalam memastikan perjuangan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak terhenti selepas tamat perkhidmatan, sebaliknya diteruskan melalui sumbangan mereka kepada pembangunan negara.
Kementerian Pertahanan menegaskan pembangunan modal insan serta kesejahteraan sosioekonomi veteran ATM kekal sebagai keutamaan strategik. Usaha ini termasuk mempersiapkan bakal pesara ATM dengan kemahiran dan latihan yang relevan bagi memenuhi tuntutan industri semasa.
Selaras hasrat itu, Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) terus giat melaksanakan inisiatif Kerjaya Kedua Perwira, satu program strategik yang menghubungkan agensi awam dan syarikat swasta bagi menyediakan akses latihan industri berkualiti serta peluang pekerjaan bernilai tinggi. Melalui inisiatif ini, pembangunan kompetensi, pengiktirafan kemahiran dan padanan pekerjaan diperkasa bagi memastikan peralihan kerjaya anggota dan veteran ATM lebih teratur dan berdaya saing.
Ketika ini, PERHEBAT bekerjasama dengan lebih 62 syarikat termasuk Kumpulan LTAT merangkumi sektor MRO, pembuatan, pengangkutan, perkhidmatan, teknologi hijau dan marin, telekomunikasi serta agromakanan. Penglibatan sektor industri dilihat sebagai tanggungjawab moral dalam membuka laluan kerjaya baharu kepada perwira negara yang telah mempertahankan kedaulatan tanah air.
Inisiatif tersebut turut menjadi program teras dalam Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035 yang menumpukan usaha membangunkan bakal pesara dan veteran sebagai tenaga kerja berkualiti tinggi menerusi tiga fasa dan empat teras strategik.
Sempena majlis kali ini, seramai 2,867 anggota ATM menamatkan Latihan Peralihan di seluruh negara, manakala 576 anggota dan veteran ATM berjaya menerima Diploma Kemahiran Malaysia melalui Program RPEL. Program ini diharap mampu menjadi pemangkin kepada penyertaan lebih ramai veteran dalam sektor industri bernilai tinggi.
Majlis anjuran PERHEBAT Sabah Siri 2/2025 yang berlangsung di Dewan Al-Bukhari, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sabah, baru-baru ini disempurnakan Rektor UiTM Sabah, Profesor Madya Dr. Rozita @ Uji Mohammed. Turut hadir ialah Kolonel Saiful Nizam Che Soh mewakili Panglima 5 Divisyen; Komander Mohd Faries Mohd Nasir TLDM mewakili Panglima Armada Timur; dan Encik Othman Somsak Abdullah mewakili Jabatan Pembangunan Kemahiran Sabah dan Labuan.
Majlis turut dihadiri Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM Sabah serta wakil Jabatan Perikanan Sabah. MPS Siri 2/2025 melibatkan 66 graduan DKM RPEL dan 85 penerima sijil PERHEBAT.
Kementerian Pertahanan percaya inisiatif berasaskan kerjasama sektor swasta ini mampu memperluas peluang kerjaya serta meningkatkan pendapatan golongan veteran, sekali gus memperkasa mereka sebagai pencetus nilai baharu dalam pembangunan ekonomi negara.



