SERAH…..Bashir (empat dari kiri) menyerahkan Jalur Gemilang dan Kit Makanan kepada Musa (lima dari kiri) sempena Program Jelajah Anak Muda bergerak ke destinasi yang dituju.
LABUAN: Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Labuan mengagihkan 500 Kit Makanan kepada golongan sasar melalui Program Jelajah Anak Muda yang diadakan sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke 64.
Ketua Pergerakan Pemuda parti itu, Musa Basman, berkata Program Jelajah Anak Muda yang diadakan secara berkonvoi adalah anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Labuan dengan kerjasama Pejabat Ahli Dewan Negara dan Persatuan Belia dan Beliawanis Kampung Sungai Lada (Belada) adalah salah satu aktiviti yang diadakan bagi menyemarakkan Sambutan Hari Kemerdekaan dalam kalangan anak muda.
“Selain itu program ini juga bertujuan untuk membantu anak-anak muda di peringkat akar umbi khususnya mereka yang terkesan teruk akibat pandemik COVID 19” katanya.

PERLEPASAN… Bashir (kanan sekali) melepaskan para peserta konvoi Jelajah Anak Muda anjuran Pergerakan Pemuda UMNO Labuan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis Flag Off Program Jelajah Anak Muda yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias di Kampung Sungai Lada, pada Isnin lalu.
Konvoi yang diketuai sendiri oleh Musa itu telah menjelajahi enam buah kampung yang melibatkan Kampung Sungai Labu, Layang-Layangan, Pohon Batu, Batu Manikar, Lubok Temiang dan berakhir di Kampung Ganggarak.
Sementara itu, Bashir yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pergerakan Pemuda UMNO yang mengambil inisiatif menyemarakan sambutan Hari Kemerdekaan ke 64.
“Program yang disambut oleh ahli-ahli Persatuan Belia dan Beliawanis di setiap kampung yang di jelajahi membuktikan kumpulan anak muda juga mempunyai ‘Semangat Cakna Prihatin’ untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan” katanya.