Kong meinjau lokasi banjir kilat di hadapan Pasaraya Sabindo yang mana kawasan itu merupakan laluan utama antara pengguna dari Pantai Timur Sabah ke Pekan Ranau seterusnya ke Kota Kinabalu.
RANAU: Sudah tiba masanya kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya Malaysia mempercepatkan inisiatif pembinaan jalan-jalan alternatif disekitar kawasan yang sering mengalami kesesakan lalu lintas khasnya dikawasan antara Pekan Ranau ke Tamparuli dan Pekan Ranau ke Pantai Timur Sabah.
Menjelaskan perkara itu, Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah), Kong Soon Choi berkata, kesesakan yang sering berlaku itu menyukarkan keseluruhan pengguna dan tindakan segera harus dilakukan pihak berkuasa dengan mewujudkan jalan-jalan alternatif yang boleh melancarkan laluan trafik.
“Saya percaya pihak berkenaan seperti JKR dan Pejabat Daerah Ranau juga ada usaha mengangkat perkara ini kepengetahuan pihak berwajib. Mungkin sudah sampai masanya ia dipercepatkan penyelenggeraannya agar isu kesesakan jalan raya di sekitar Pekan Ranau dan kawasan berhampiran dapat diatasi”. Tegasnya.
Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, laluan utama yang sering mengalami kesesekan ini turut menjadi nadi perhubungan utama bagi kes-kes kecemasan seperti ambulan, bomba dan polis sekiranya berlaku sebarang insiden kecemasan.
Katanya, pihak berkuasa perlu menilai perkara itu secara serius kerana ketika ini terlalu ramai pengguna yang merungut ekoran sering terperengkap dalam kesesakan khususnya sewaktu keadaan cuaca yang tidak menentu ini.
“Tidak dapat dinafikan memang ramai yang mengeluh dengan kesesakan itu. Pihak Polis Trafik juga telah berusaha sedaya yang mampu untuk mempastikan keadaan pulih namun keadaan jalan yang ada nampaknya tidak mampu menampung jumlah kenderaan yang begitu banyak setiap hari”,
“Ada pengguna yang meluahkan perasaan mereka sehingga ke paparan media sosial dan sudah tentu perkara ini perlu dinilai segera untuk dipertimbangkan suatu jalan penyelesaian yang boleh meredakan sedikit keadaan”. Jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui lokasi banjir kilat berhadapan Pasaraya Sabindo dimana jalan tersebut menghubungkan Kampung Lasing dan Pekan Ranau telah mengalami banjir kilat akibat sistem corong pengaliran air (Culvert) tersumbat pada petang Rabu.
Jabatan Meterologi Malaysia telah mengeluarkan amaran hujan berterusan bermula 24 Januari sehingga hari ini. Berikutan itu, beberapa kawasan disekitar daerah Kudat, Kota Marudu, Paitan dan Beluran telah dinaiki air dan berlaku kejadian banjir kilat.