27 C
Kota Kinabalu
Isnin, Februari 10, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Perbezaan anutan agama bukanlah penghalang untuk saling bantu-membantu sesama insan manusia

SERAH SUMBANGAN…Kong Soon Choi menyerahkan sumbangan barangan makanan dan kewangan untuk menampung pembelian set televisyen dan pemasangan astro serta wifi kepada Ustaz Hj. Hainin bin Abdullah.

RANAU: “Perbezaan anutan agama bukanlah penghalang untuk saling bantu-membantu sesama insan manusia yang kurang bernasib baik. Sebaliknya amalan mulia dan ikhlas hati itu perlu diterapkan kepada sesiapa sahaja tanpa mengira anutan agama serta latar belakang seseorang’’, demikian dinyatakan oleh Kong Soon Choi, Timbalan Ketua Wiramuda Parti Star Sabah dalam kunjungannya ke Rumah Anak Yatim Dan Asnaf di Kg.Silad, Ranau pada Jumaat.

Dalam lawatan itu, Kong telah menyumbangkan barang-barang makanan termasuk sumbangan kewangan untuk pembelian dan pemasangan astro serta wifi bagi memberikan kemudahan internet kepada para penghuni rumah anak yatim tersebut mendapatkan akses internet untuk tujuan mengulangkaji pembelajaran.

Kong mendengar penjelasan daripada Ustaz Hj. Hainin mengenai pentadbiran Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kg. Silad

Dalam masa sama, Kong juga menyatakan program yang dijalankan itu merupakan suatu aktiviti jiwa murni selaku pemimpin setempat bagi mempastikan golongan kanak-kanak yang kurang bernasib baik turut terbela nasib mereka selain dapat meringankan bebanan pentadbir rumah anak yatim berkenaan.

‘’Saya terpanggil untuk memberikan sumbangan ini walaupun kami berbeza anutan agama, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menidakkan golongan yang kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim dan golongan asnaf. Mudah-mudahan suatu hari nanti kesemua penghuni di rumah anak yatim ini akan menjadi insan yang berjaya’’, jelas Kong.

Sementara itu Pengurus Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kg. Silad, Ustaz Hj. Hainin bin Abdullah turut merakamkan ucapan syukur dan berterima kasih kepada Kong diatas keikhlasan hati menyantuni anak-anak yatim ditempat berkenaan.

GAMBAR KENANGAN..Kong mengabadikan gambar kenangan bersama para penghuni Rumah Anak Yatin Dan Asnaf Kg. Silad.

Katanya, amalan mulia yang dijalankan oleh Kong merupakan sifat terpuji dan sudah tentu membantu meringankan bebanan para pentadbir serta penghuni rumah anak yatim tersebut. Dalam masa sama, beliau turut berharap agar pihak berkenaan terus dapat menaiktaraf kemudahan yang ada di rumah anak yatim itu khasnya yang berkaitan dengan struktur bangunan asrama penghuni lelaki yang mana kedudukannya kurang kukuh.

‘’Rumah Anak Yatim ini dibina atas tanah seluas enam ekar milik Majlis Ugama Islam Sabah. Kebanyakan penghuni disini bergantung kepada sumbangan ikhlas mereka yang datang dan sudi membantu kami sama ada dari sudut bekalan makanan atau apa sahaja peralatan untuk membaik pulih bangunan penempatan penghuni’’,tegas Hj. Hainin.

Rumah Anak Yatim Dan Asnaf Kg. Silad menempatkan seramai 57 orang penghuni terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia sekitar 9 hingga 15 tahun yang datang daripada beberapa daerah antaranya Ranau, Kota Belud serta terdapat dua orang daripada Kuala Lumpur. Kebanyakan kanak-kanak ini daripada kalangan mereka yang telah kehilangan salah seorang ibu bapa ataupun menjadi mangsa perceraian keluarga dan terabai.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN