23.8 C
Kota Kinabalu
Rabu, Julai 9, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Perbaiki jambatan dan jalan rosak akibat banjir dengan segera: James

James (kanan) ketika melawat jambatan konkrit Kg.Sungai-Sungai yang rosak dan tidak boleh dilalui kenderaan akibat banjir

PAITAN: Menteri Pembangunan Msyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk James Ratib meminta pihak berkenaan dan syarikat konsesi supaya membuat pembaikan jambatan dan jalan rosak akibat banjir di kawasan ini dengan segera.

“Saya telah membawa bersama pegawai serta wakil-wakil jabatan dan agensi termasuk para pemimpin tempatan di daerah Paitan untuk melawat ke kawasan-kawasan yang telah dilanda bencana banjir seperti di Kg. Atong, Lingkabau, Kg. Ulu Toliduson, Kg. Sungai-Sungai, Kg. Sulit dan sebagainya.

“Dalam lawatan ini kita mendapati banyak kerosakan terutama sekali dari segi perhubungan iaitu jambatan.

“Sebentar tadi kita telah melawat ke kawasan Lingkabau yang mana dua jambatan berukuran 50 meter perlu dibina di kawasan itu bagi menghubungkan beberapa buah kampung di sini,” katanya.

James yang juga ADUn Sugut berkata, ini penting kerana jambatan berkenaan akan memudahkan para penduduk pergi ke klinik dan sekolah, di samping mengeluarkan hasil pertanian dari kebun-kebun mereka.

Menurut beliau, sudah pastinya, tanpa pembaikan jalan-jalan rosak dan jambatan penghubung tersebut akan menyukarkan mereka menjalankan aktiviti harian serta kegiatan ekonomi mereka, di samping untuk berurusan di pekan-pekan.

“Perhatian khusus untuk pembinaan jambatan akan diberikan kepada Kg. Ulu Toliduson kerana jalan kampung berkenaan merupakan satu-satunya jalan alternatif yang penting yang digunakan penduduk mengangkat hasil-hasil tanaman mereka.

PERLU DIBINA JAMBATAN….James memberitahu pegawai ICU, jambatan perlu dibina di kawasan ini untuk kemudahan laluan penduduk ke kebun dan memasarkan hasil pertanian

“Sekiranya jambatan itu tidak dapat dibina, maka tiada lah jalan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan sekiranya terjadi apa-apa, di samping menyukarkan penduduk mengeluarkan hasil pertanian mereka.

“Sementara itu, jambatan di Kg Sungai-Sungai pula amatlah penting kerana ianya adalah satu-satunya laluan utama bagi Pekan Kg Sungai-Sungai, di mana kini kawasan jambatan ini hampir roboh,” katanya.

James menambah bahawa Perkara ini mengakibatkan terputusnya hubungan darat di mana lebih-kurang 500 orang penduduk tidak dapat keluar dan masuk ke kawasan tersebut melalui jalan laluan utama mereka ini.

“Para penduduk terpaksa berjalan kaki untuk pergi ke seberang. Jadi saya minta kepada pihak kerajaan ataupun syarikat konsesi supaya dapat membina atau membaiki jambatan yang roboh ini dengan kadar yang segera,” katanya.

Siri lawatan Menteri berkenaan berlangsung di beberapa buah kampung lagi di Paitan dan akan diteruskan pada hari berikutnya ke daerah-daerah berhampiran seperti di Telupid dan juga di Beluran.

Menurut beliau lagi, siri jelajah lawatan tersebut akan menumpukan kepada untuk melihat apa kerosakan-kerosakan yang dialami di kawasan berkenaan ekoran bencana banjir yang berlaku di beberapa tempat seluruh negeri baru-baru ini.

Setakat ini, katanya, hasil daripada lawatan-lawatan yang dilakukan keatas semua prasarana-prasarana yang rosak, beliau akan mengarahkan kepada JKR supaya dapat menyenaraikan semua kerosakan yang berlaku.

Begitu juga dengan Jabatan Pembangunan Negeri di bawah ICU supaya mereka mengenalpasti mana kerosakan-kerosakan yang Perlu diberikan priority dan wajib dilaksanakan dengan kadar segera bagi memudahkan rakyat di kawasan tersebut.

James (kanan) ketika melawat jambatan kayu di Kg.Taliduson Ulu yang turut terjejas akibat banjir

Buat masa ini, tambah James, dari segi bakul makanan untuk keperluan harian mangsa-mangsa yang terjejas banjir telah diedarkan dan tidak ada masalah yang timbul dalam hal berkenaan.

“Kita difahamkan oleh Jabatan Kebajikan bahawa semua mangsa telah menerima bekalan bakul-bakul makanan yang disediakan oleh pihak berwajib bagi meringankan beban mereka menghadapi dugaan ini.

“Begitu juga dari sudut pihak-pihak keselamatan di mana semua anggota kini dalam keadaan bersiap siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dan membantu mangsa-mangsa banjir dan memindahkan mereka ke pusat-pusat pemindahan sementara (PPS).

“Saya juga tidak mendapat banyak rungutan daripada rakyat berkenaan khidmat bantuan yang kita berikan sepanjang masa-masa selepas bencana ini berlaku.

“Semua pegawai dan kakitangan serta agensi kerajaan dapat menjalankan tugas dengan sebaik-baiknya dan perkhidmatan mereka ini saya lihat memang cukup terbaik setakat ini,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN