32 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Perbadanan Labuan peruntukan RM130,000 naik taraf tapak penjaja Layangan dan Patau-Patau

BINCANG…… Dr.. Fary (dua kiri) berbincang sesuatu dengan Bashir (kanan sekali) dan Haji Hamir (dua kanan) sambil diperhatikan Mohd Dzulfaizal (kiri sekali) ketika meninjau tapak penjaja Layangan.


LABUAN: Perbadanan Labuan memperuntukan sebanyak RM130,000 untuk menaik taraf dua kawasan penjaja kecil bagi membantu meningkatkan pendapatan peniaga kecil di pulau ini.


Dua kawasan yang telahpun dikenal pasti masing-masing di kawasan penjaja Layangan dan kawasan penjaja Kampung Patau- Patau.


Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Dr. Fary Akmal Osman berkata bagi kawasan penjaja di Layangan yang menempatkan sembilan penjaja tempatan akan diperuntukan sebanyak RM50,000 bagi kerja kerja membina lantai konkrit serta membesarkan jalan masuk yang sedia ada.


“ Manakala di kawasan penjaja Patau-Patau yang menempatkan 15 penjaja akan memperuntukan sebanyak RM80,000 bagi menaik taraf lantai konkrit serta bagi kerja-kerja penyediaan bekalan air bersih” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Turun Padang Lawatan Tapak Projek Anjung Selera Batu Manikar dan Tapak Penjaja Layangan bersama Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Senator Datuk Bashir Alias, pada Selasa.


Dr Fary berkata, Perbadanan Labuan mempunyai beberapa perancangan untuk meningkatkan ekonomi peniaga tempatan khususnya penjaja kecil dengan mengambil inisiatif untuk menaik taraf beberapa kawasan penjaja.


“Kita harap usaha yang akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pendapatan penjaja tetapi juga memberi keselesaan kepada pengunjung” katanya,

NAIK TARAF…. kawasan penjaja di Layangan yang bakal dinaik taraf.


Sementara itu, Bashir yang juga Ahli Dewan Negara menyambut baik usaha proaktif Perbadanan Labuan dalam meningkatkan kemudahan penjaja kecil tempatan yang memerlukan keselesaan.

“Usaha ini juga sejajar dengan harsat kerajaan untuk memudahkan para penjaja kecil berniaga sekaligus dapat meningkatkan lagi sumber pendapatan dan bilangan pengunjung juga akan meningkat apabila keadaan kawasan penjaja selesa, bersih dan kemas.” katanya.


Pada majlis itu, Bashir turut menyerahkan bantuan kepada dua buah keluarga mangsa bencana rumah roboh dan banjir masing dari kampung Negalang dan Ganggarak sumbangan daripada badan bukan kerajaan (NGO).


Turut sama, Timbalan Pengerusi Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan, Haji Hamir Zahari, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) Perbadanan Labuan, Ibrahim Tambi dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon Labuan, Mohd Dzulfaizal Ab. Manan.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN