PITAS: Perayaan Tahun Baru Cina yang dirayakan setiap tahun membawa rakyat kearah lembaran baharu dalam kehidupan seharian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib berkata, ia menandakan suatu peluang yang baharu kepada semua untuk memulakan satu azam dan cita-cita yang lebih baik.
“Seperti yang kita semua sedia maklum, bagi masyarakat Tionghua Perayaan Tahun Baru tertumpu kepada menghapuskan yang buruk dan yang lama, serta mengalu-alukan yang baharu dan yang baik.
“Perayaaan-perayaan yang kita sambut menggalakkan kepelbagaian, membawa jiran ke dalam dialog, meningkatkan kreativiti dan menawarkan peluang untuk berkenalan antara satu sama lain.
“Perayaan yang kita sambut hari ini merupakan simbol perpaduan kaum yang begitu terjaga di negara kita, terutama sekali di Sabah sejak zaman-berzaman hasil daripada sikap toleransi antara sesama kaum,” katanya.

Menurut James, toleransi di kalangan masyarakat berbilang kaum dianggap sebagai elemen yang penting dalam masyarakat moden dari segi budaya, etnik, agama dan politik.
“Ini mustahak bagi Malaysia di mana etnik dan politik dianggap sebagai perkara yang paling penting, dan toleransi atau Wasatiyyah telah menjadi agenda nasional dalam menguruskan masyarakat majmuk,” katanya.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sugut berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pembukaan Festival Tahun Baharu Cina 2023 Daerah Pitas Ahad.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Malaysia, khususnya Kerajaan Negeri Sabah begitu prihatin terhadap kesejahteraan semua kaum termasuk juga masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam di negara ini.
“Ini dapat dilihat melalui pelbagai bantuan dan sokongan yang diberikan oleh kerajaan dalam membolehkan macam-macam aktiviti dijalankan oleh seluruh masyarakat di negara ini ” katanya.
Sementara itu, beliau memuji inisiatif pihak penganjur apabila Festival Tahun Baharu Cina Daerah Pitas tersebut telah mendapat pengikhtirafan Malaysia Book Of Record dan Asia Book Of Record.
Ia telah diiktiraf sebagai Acara sambutan Tahun Baharu Cina yang paling panjang iaitu selama 8 hari 9 malam nonstop 24 jam.
“Pada tahun ini pula, saya difahamkan bahawa festival ini dipantau oleh World Book Of Record untuk mendapatkan pengikhtirafan World Book Of Record tahun 2024.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada masyarakat Pitas atas kejayaan yang membanggakan ini. Ia sekaligus meletakkan Daerah Pitas dalam peta pelancongan yang menjadi bualan yang menggembirakan di mata dunia,” jelas beliau.