TENOM: Perayaan Pesta Kaamatan memberi makna yang cukup besar terutama bagi rakyat yang berketurunan Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR) khasnya serta seluruh rakyat Sabah amnya.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, perayaan yang diraikan setiap tahun pada bulan Mei bukan sahaja bertujuan mengeratkan silaturrahim dan perpaduan, tetapi juga bagi menyatakan rasa kesyukuran di atas hasil tuaian yang baik.
“Sesungguhnya Pesta Kaamatan adalah manifestasi keharmonian dan semangat muhibah masyarakat di negeri ini untuk hidup aman dan bersatu padu walaupun terdiri daripada berbilang kaum, bangsa, agama dan kepercayaan” katanya dalam teks ucapan perasmian sambutan Pesta Kaamatan peringkat Daerah Tenom dan Daerah Kecil Kemabong yang berlangsung di dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini pada Rabu.
Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir.
Katanya, ini bermakna selain untuk memperkukuhkan kerjasama yang lebih jitu dalam kalangan seluruh rakyat di negeri ini dan negara ini, Pesta Kaamatan juga adalah medan yang berupaya memartabatkan warisan seni budaya.
“Justeru, perayaan seperti inilah juga tempat untuk kita mempertahankan keunikan budaya dan adat resam rakyat berbilang kaum dan budaya yang telah diwarisi daripada nenek moyang. Khazanah yang ada ini perlu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi muda agar tidak pupus disebabkan oleh pengaruh budaya luar yang tidak sihat” katanya.
Hajiji berkata, rakyat di negeri ini beruntung kerana kerajaan amat prihatin dan turut membantu memelihara adat istiadat dan budaya suku-suku kaum yang terdapat di negeri ini.
Katanya, Keistimewaan dan keunikan negeri Sabah yang mempunyai kepelbagaian warisan, etnik, budaya dan kaum adalah aset yang penting sebagai tarikan pelancong dan perlu terus dipelihara serta dilindungi sebagai lambang ketamadunan masyarakat negeri ini.
“Seperti yang kita sedia maklum bahawa keadaan cuaca tidak menentu amat memberi kesan terhadap hasil pertanian di negara kita, termasuk di Sabah. Sesuai dengan keadaan semasa yang memerlukan komitmen kita untuk terus memastikan Keterjaminan makanan, sambutan Pesta Kaamatan ini haruslah menjadi wadah penting untuk kita memperkasakan bidang pertanian dan industri asas tani agar kita lebih bersedia dalam menghadapi pelbagai cabaran ekonomi global” jelasnya.
Pada masa sama Hajiji berkata, bertepatan dengan tema Pesta Kaamatan tahun ini iaitu “Kaamatan Melangkaui Keterjaminan Makanan”, tema ini sebenarnya seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam usaha memperkukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.
Tema ini juga katanya memberi peringatan kepada semua pihak untuk sentiasa berusaha dengan lebih giat lagi bagi meningkatkan keberhasilan dan seterusnya memelihara sumber makanan di negeri ini.
Justeru itu katanya, dalam konteks keterjaminan makanan, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah terus komited dengan usaha meningkatkan tahap sara diri hasil pertanian terutamanya padi.
Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan pengeluaran dan Tahap Sara Diri atau hasil pertanian di negeri Sabah bagi memperkukuhkan keterjaminan makanan, khususnya bagi komoditi beras.
Untuk mencapai matlamat ini, beliau
menyeru kepada semua wakil rakyat agar terus mengamalkan pendekatan ‘turun padang’ untuk bertemu dengan rakyat jelata dan mengambil tahu tentang permasalahan yang dihadapi rakyat.
Seruan yang sama turut disampaikan kepada kakitangan-kakitangan kerajaan yang berkaitan, agar sentiasa proaktif dalam menjalankan tanggungjawab yang telah diamanahkan untuk menangani masalah rakyat terutamanya penduduk di luar bandar.
Beliau juga menyeru kepada semua lapisan rakyat agar terus memberi sokongan kepada kerajaan dan jentera pentadbiran diperingkat daerah bagi memastikan setiap pelaksanaan program pembangunan yang telah dirancang berjalan dengan licin dan teratur demi kebaikan dan masa depan seluruh rakyat di negeri ini.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemabong Datuk Rubin Balang, Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin, Ahli Dewan Negara Senator Norita Sual, ADUN dilantik Datuk Haji Raime Unggi, Pengerusi SUDC Datuk Haji Jamawi Jaafar, Pegawai Daerah Tenom Mas Syazwan Haji Masood, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat.