Sebahagian kanak-kanak yang menjayakan perarakan dan menerima sumbangan daripada Rotary Satellite Club.
RANAU: Sambutan Hari Kemerdekaan dan Hari Sabah peringkat Kampung Perancangan di sini berlangsung meriah apabila hampir keseluruhan penduduk, termasuk kanak-kanak, menyertai perarakan mengelilingi kampung berkenaan.
Ketua Kampung Perancangan, Johnis Sabut berkata program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kawasan Rukun Tetangga (KRT) serta Jawatankuasa Tagal itu disertai kira-kira 422 penduduk yang menetap di kampung berkenaan.
Beliau berkata penglibatan kanak-kanak dalam sambutan tahun ini menjadi antara kelainan yang menceriakan program, apabila mereka tampil mengenakan baju-T dan membawa beg hasil sumbangan orang perseorangan yang diperoleh menerusi usaha Rotary Satellite Club of Kota Kinabalu Pearl Prismatic Ranau (RSCKKPPR).
“Menariknya sambutan tahun ini ialah penyertaan kanak-kanak yang begitu menggalakkan. Mereka bukan sahaja memeriahkan perarakan, malah turut didedahkan dengan semangat patriotisme sejak usia muda,” katanya.

Peserta melibatkan pelbagai peringkat umur
Perarakan yang bermula di sekitar kawasan kampung itu berakhir di tapak rekreasi tagal sebelum peserta menyertai pelbagai acara sukaneka dan jamuan makan.
Suasana sambutan turut dimeriahkan dengan paluan gong yang dimainkan kanak-kanak daripada keluarga Kujin Gorod, sekali gus menampilkan elemen warisan dan budaya tempatan dalam sambutan berkenaan.
Pengerusi RSCKKPPR Datuk Dr Mistirine Radin, yang merasmikan program itu, turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang membantu menyediakan keperluan kanak-kanak sehingga menggalakkan penyertaan mereka dalam sambutan tersebut.
Beliau berkata semangat patriotisme perlu dipupuk sejak kecil bagi memastikan generasi muda memahami, menghargai dan mempertahankan nikmat kemerdekaan yang dikecapi negara.
“Semangat patriotik perlu disemai dari kecil. Semoga mereka membesar dengan kesedaran bahawa kemerdekaan adalah sesuatu yang terbaik dan perlu dijaga serta dikekalkan,” katanya.

Datuk Dr. Mistirine bersama peserta perarakan di atas jambatan kayu-bambu yang menjadi tarikan pengunjung rekreasi sungai
Dalam pada itu, Kampung Perancangan mempunyai sejarah dan identiti tersendiri, termasuk nama asalnya iaitu ‘Pinsansangan’ yang merujuk kepada kawasan tanah di antara pertemuan tiga sungai, iaitu Sungai Langanan, Sungai Mokodou dan Sungai Moroli.
Kampung berkenaan yang pernah dikenali sebagai Kampung Piransangan ketika pemerintahan British kemudiannya menggunakan nama Kampung Perancangan selepas pembentukan Malaysia.
Kedudukannya yang dikelilingi sumber semula jadi turut menjadikan kampung itu antara kawasan yang mempunyai potensi rekreasi air, termasuk tapak perkhemahan di tepi sungai, kawasan tagal serta aktiviti white water rafting.
Sambutan tahun ini bukan sahaja menjadi wadah memperkukuh semangat patriotisme dan perpaduan penduduk, malah memperlihatkan usaha masyarakat setempat memperkenalkan warisan budaya serta potensi rekreasi kampung kepada generasi muda.



