ADVERTISEMENTspot_img

Peranan RELA mesti terus dihargai: Benedict

Benedict menyampaikan sijil tamat kursus kepada salah seorang anggota RELA


KUNDASANG: Peranan RELA dalam melicinkan usaha pihak berkuasa menjaga keselamatan awam perlu senantiasa dihargai, kata Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau, Benedict Gunda.


Menurutnya, RELA sebagai agensi keselamatan yang amat dekat dengan masyarakat telah memainkan peranan besar sejak sekian lama, khususnya dalam membantu pihak berkuasa menangani pelbagai isu keselamatan dan kemasyarakatan.


“Justeru, kita tidak boleh memandang ringan sumbangan RELA dalam membantu melicinkan pelbagai operasi dan menjaga keselamatan awam, lebih-lebih lagi dalam era yang serba mencabar ini,” kata beliau.


Benedict yang mewakili Ahli Parlimen P.179 Ranau, YB Datuk Jonathan Yasin berkata demikian semasa merasmikan Kursus Asas RELA Daerah Ranau Siri 1/2025 10-12 Jun 2025 di Pusat Latihan Kenegaraan, Kundasang pada hari Khamis.


“Program Kursus Asas RELA ini merupakan platform penting dalam melahirkan anggota RELA yang berdisiplin, berpengetahuan dan bersemangat tinggi dalam menyumbang kepada keselamatan serta keharmon masyarakat.


“Kehadiran lebih 100 peserta dari pelbagai tempat termasuk Ranau, Kota Kinabalu, Keningau, Kudat, Tongod, Beaufort, Papar dan Penampang mencerminkan komitmen penting dalam memperkukuhkan semangat kesukrelawan khususnya di negeri Sabah ini.

Benedict dan lain-lain mengabadikan gambar kenangan di dalam program itu


“Saya percaya, melalui kursus ini para peserta bukan sahaja akan dilatih dari segi fizikal dan taktikal, tetapi juga akan diasuh nilai-nllai murni seperti semangat patriotisme, kerjasama berpasukan, disiplin diri dan tanggungjawab terhadap negara,” kata beliau.


Beliau menyeru kepada semua peserta agar mengambil peluang tersebut dengan sebaik-baiknya dengan menyerap sebanyak mungkin ilmu yang disampaikan oleh para jurulatih dan pegawai.


Beliau turut menggesa suapaya para peserta tanamkan azam untuk menjadi anggota RELA yang berintegriti, bertanggungjawab, serta sentiasa bersedia untuk berbakti kepada masyarakat dan negara.


Benedict merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas jemputan untuk merasmikan program tersebut dan menghargai segala usaha yang dijalankan oleh pihak RELA dan Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang.


Beliau berharap agar program seumpama itu akan diteruskan di masa hadapan, dan semoga usaha murni itu akan terus menyemarakkan semangat kenegaraan serta perpaduan di kalangan semua rakyat di negara ini.


Turut hadir, Mohd Ramdan bin Raidin, Pegawai RELA Daerah Ranau, Faidatul Izaat, wakil Pusat Latihan Kenegaraan Kundasang, Pegawai RELA Daerah (PRD) dan Penolong Pegawai RELA Daerah (PPRD) dari daerah Ranau, Kota Kinabalu, Keningau, Kudat, Tongod, Beaufort, Papar dan Penampang.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN