25 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Disember 5, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Peranan golongan ibu-ibu penting dalam meningkatkan ekonomi: Jonathan

Jonathan menerima Cendera kenangan disampaikan Ruhaidah diiringi dua yang lain


RANAU: Golongan ibu-ibu memainkan peranan yang sangat penting di dalam memperkasakan ekonomi setempat di daerah Ranau jika diberikan tunjuk ajar dan pengetahuan tentang sesuatu bidang yang mereka ceburi.


Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin berkata, banyak aspek yang boleh di terokai oleh golongan ibu-ibu dalam memantapkan aspek ekonomi setempat atau luar.


“Apa lagi kalau golongan ini bersatu dalam menggabungkan kepakaran mereka dalam pelbagai bidang kemahiran yang mereka perolehi.

Tidak hairan jika 10 orang ibu-ibu yang bergabung, mampu menggegarkan negeri Sabah,” katanya.


Apa yang penting, katanya, adanya keyakinan diri dalam membuat sesuatu usaha supaya ianya boleh berjaya, kerana sebelum inipun sudah ramai dari golongan ibu-ibu yang sudah berjaya dalam perusahaan mereka.


Menurutnya, di Ranau sendiri pun sudah ada yang berjaya melalui bidang kraftangan, masakan dan lain-lain, yang dimulakan melalui bantuan kerajaan mahupun modal persendirian.


“Dari kita di Pejabat Parlimen, kita juga berusaha untuk membantu. Tapi dalam masa yang sama, kita juga menggalakkan para ibu membuat lawatan ke daerah lain sambil mengambil pengalaman dan idea daripada mereka yang sudah berjaya,” katanya.


Jonathan berkata demikian semasa merasmikan Majlis Hari Raya dan Kaamatan anjuran Pengerusi Persatuan Ibu-Ibu Kg Silou yang diadakan di Dewan Terbuka Rimbunan Hijau Residence Kg Silou baru-baru ini.


Menurut beliau, sambutan Kaamatan memang sangat penting untuk terus diraihkan bersama kerana tidak ada lagi bangsa lain di dunia yang akan merayakan Kaamatan selain bangsa KDM sendiri.


“Satu budaya dari masa lalu yang diteruskan sehingga ke hari ini mempunyai banyak aspek-aspek yang penting seperti bekerjasama, bergotong royong, kerja keras, gigih, kerajinan dan berkumpul bersama.


“Antara aspek utama yang kita perlu ambil dari semangat perayaan ini ialah usaha tanpa berputus asa, kerana tanpa itu, tiada hasil yang akan dibawa pulang untuk memberi makan kepada keluarga,” kata beliau.


Katanya, sebelum ini, perayaan Kaamatan dikaitkan dengan hasil tuaian padi, tapi hari ini ia juga boleh dikaitkan dengan hasil perusahaan lain seperti durian, koko, kopi, mahupun perusahaan pelancongan.


Dalam pada itu, Jonathan menekankan bahawa banyak bentuk perusahaan yang boleh dilakukan di Ranau demi mengembangkan ekonomi penduduknya, dan menggesa usahawan di sini mengambil manfaat daripada penggunaan internet serta media sosial.


Turut hadir, Pengerusi Persatuan Ibu-Ibu Kg Silou, Ruhaidah Binti Sairin, Pegawai Perpaduan Daerah Ranau, Faiz bin Mohd Zahri, pemilik Dewan Terbuka Rimbunan Hijau Residence Kg Silou, Mairin Samad, para pegawai dan kakitangan Pejabat Parlimen Ranau, dan lain-lain.



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN