Ewon bersama Shafie, Bernard dan Diyanah bergambar bersama wakil-wakil penerima geran tanah dan Input Pertanian.
KOTA BELUD: Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal sedia untuk memperbanyakkan penyukatan tanah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian di bawah Program Perkhidmataan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS).
Caretaker Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, bagi kawasan Kadamaian, fasa 1 penyukatan tanah melalui Program PANTAS telah dimulakan pada 14 September 2019 di Kg.Kiau.
“Di bawah fasa 1 ini, lebih 300 lot telah disukat sepenuhnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada Mac tahun ini. Daripada jumlah lot itu, 127 geran tanah telahpun dikeluarkan dan diserahkan pada hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembangunan Fasa 2 Tamu Taginambur dan Penyerahan Geran Tanah Daerah Kota Belud serta Penyerahan Input Pertanian, di Dewan Kadamaian Square, di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian sejak Mei 2018 berkata, urustadbir tanah merupakan antara keutamaan beliau sejak menjadi Wakil Rakyat.
“Ketua Menteri tahu, dalam mesyuarat Jemaah Menteri Sabah, saya banyak kali membangkitkan isu berkaitan urustadbir tanah serta kelewatan memproses permohonan-permohonan tanah di Kadamaian.
“Ini termasuklah memorandum bantahan penduduk dari tujuh kampung yang termasuk dalam Hutan Simpan Wariu yang diwartakan pada tahun 2015 oleh Kerajaan BN ketika itu. Kabinet antara lainnya bersetuju dengan syor membubarkan Hutan Simpan tersebut dan memberi hak milik kepada penduduk yang telah mengusahakan tanah di kawasan tersebut di bawah Program PANTAS.
“Ketua Menteri juga bersetuju dengan syor saya agar Penolong Pemungut Hasil Tanah (PPHT) dilantik di Pejabat Daerah Kota Belud dan sembilan lagi pejabat daerah lain. Pada Januari tahun ini, PPHT telah dilantik di semua pejabat daerah di negeri ini bagi menambahbaik urustadbir tanah,” katanya.
Menurut Ewon, keprihatinan Datuk Shafie dalam urustadbir tanah anak negeri terserlah dengan keputusan membatalkan Geran Komunal dengan menggantikannya dengan Geran NT serta inisiatif mempercepatkan pengeluaran geran-geran tanah.
Ewon berkata, selain membangkitkan isu tanah dalam mesyuarat Kabinet, beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur untuk memperluaskan penyukatan tanah di Kadamaian melalui Program PANTAS.
“Saya telah meminta agar penyukatan tanah di bawah program PANTAS dilaksanakan di Mukim Sayap, Lasau, Melangkap, Kaung dan Gensurai kerana kawasan-kawasan ini berkecerunan tinggi dan proses permohonan gerwn tanah boleh diselesaikan dengan lebih cepat melalui program PANTAS. Apabila Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Shafie ditubuhkan semula selepas pilihanraya, inilah yang akan dilaksanakan sepertimana telah kita perkenalkan di Mukim Kiau,” katanya.
Shafie menyampaikan 127 geran tanah hasil Program PANTAS kepada KK Liam Sumbin, wakil penerima Kampung Kiau Teburi.

Ewon turut menambah bahawa walaupun banyak pemimpin parti yang mendokong Kerajaan Perikatan Nasional, tetapi yang akhirnya menyelesaikan masalah tanah di Kadamaian hari ini termasuk membubarkan Hutan Simpan Wariu dan beberapa hutan simpan lain di Kadamaian ialah Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Datuk Shafie,” katanya.
“Hari ini kita mulai memberikan geran-geran tanah anak negeri (Geran NT) kerana dasar Kerajaan Negeri menambahbaik urustadbir tanah dan mempercepatkan proses pengeluaran geran tanah.
“Bagi DUN Kadamaian, inilah antara fokus utama perkhidmatan saya sebagai Wakil Rakyat yang terkandung dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian, 2020-2035 yang telah dilancarkan oleh Ketua Menteri di Dewan Kadamaian Square pada Januari tahun ini.
“Justeru, rakyat Kadamaian perlu memilih pimpinan Kerajaan Negeri yang telah terbukti dapat membantu mengangkat aspirasi dan menyelesaikan masalah serta memenuhi keperluan pembangunan rakyat di Kadamaian. Dalam dua tahun, semua ini telah kita capai di Kadamaian,” katanya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Tanah dan Ukur Bernard Liew Chau Min, Pegawai Daerah Kota Belud Hajah Diyanah Abdullah, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan, para pemimpin masyarakat dan para penerima geran tanah.
Ends