28 C
Kota Kinabalu
Khamis, Jun 19, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PENYERTAAN DAERAH KE KARNIVAL BOLA SEPAK SUPERVET TERBUKA SABAH JALIN SILATURAHIM: RUDDY

PPM Ramlah (tengah), Jali (6 dari kiri) bergambar selepas majlis penutupan tersebut

PITAS: Penyertaan pasukan bola sepak di setiap daerah ke Karnival Bola Sepak Supervet Terbuka Sabah mampu menjalin hubungan silaturahim di kalangan para pemain dan juga penganjur.

Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, YB Dato Sri Dr. Ruddy Awah berkata permainan bola sepak adalah satu sukan yang digemari ramai. Sesungguhnya penglibatan secara langsung oleh semua pasukan sepanjang kejohanan memperlihatkan kesatuan dan semangat kesukanan para pemain yang jitu serta menjadi aspirasi kepada anak-anak muda dan golongan belia yang meminati arena bola sepak.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Penutupan Karnival Bola Sepak Supervet Terbuka Sabah di Padang Majlis Daerah Pitas baru-baru ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pegawai Pembangunan Masyarakat N3 Pitas, Ramlah Nasir.

Katanya, anjuran sebegini amat memberikan manfaat yang besar dan dapat mengeratkan hubungan silaturahim bersama masyarakat tanpa mengira agama, bangsa mahupun fahaman ideologi politik.

“Kita berhimpun di padang pada petang ini supaya kita dapat sama-sama bersukan dan beriadah serta bermasyarakat dengan harmoni yang diterjemahkan menerusi anjuran pertandingan bola sepak sebegini,” katanya.

“Bukan sahaja melibatkan daerah Pitas tetapi juga bersama dengan daerah-daerah lain malah bekas pemain negeri seperti Matlan Marjan, Harun Laban, Karti Tukimin dan ramai lagi juga ada bersama kita untuk memeriahkan suasana pada hari ini. Justeru itu pihak kami akan sentiasa memberikan sokongan terhadap sebarang penganjuran program-program sukan yang dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada masyarakat,” katanya.

“Syabas dan tahniah sekali lagi kepada Pengerusi Penganjur, Cikgu Jali Suntang dan semua Ahli Jawatankuasa kerana dapat menganjurkan kejohanan ini dengan jayanya. Semoga di masa akan datang lebih banyak lagi program seumpama ini dapat dilaksanakan,” katanya lagi.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN