TELUPID : Penyampaian maklumat yang salah mampu menggugat keharmonian dalam kalangan masyarakat.
Menurut Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri II, Jonnybone J Kurum, masyarakat perlu menapis maklumat-maklumat yang diterima dengan merujuk kepada agensi-agensi berkenaan.
“Meskipun teknologi membolehkan masyarakat mengakses segala maklumat dihujung jari namun perlu bijak dalam menilai sesuatu terlebih dahulu sebelum dikongsikan kepada lain.
“Pewujudan Komuniti MADANI di setiap kawasan juga dapat membantu kerajaan dalam menyampaikan dasar-dasar kerajaan serta memberikan maklumat-maklumat yang sahih kepada masyarakat.
“Perbuatan menularkan sesuatu yang tidak benar akan mendorong perpecahan dikalangan masyarakat.
“Sentimen-sentimen 3R (race,religion & royalty) perlu dielakkan meskipun rakyat mempunyai kebebasan bersuara namun hendaklah digunakan dengan sebaiknya,”
katanya kepada media selepas merasmikan Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 di Dewan Institut Perhutanan Sabah.
Dalam pada itu, beliau menggesa para belia bersatu padu bagi memastikan keamanan yang dikecapi dapat dikekalkan.
“Setiap belia perlu mempunyai semangat cintakan negara dan negeri sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulu,” ujarnya.
Beliau berharap agar Konvoi KMJG ini diteruskan di masa-masa akan datang kerana program sedemikian dapat menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat.
Dalam majlis itu juga, turut diadakan
penyerahan sijil watikah kepada enam pengerusi Komuniti Madani sekitar daerah Telupid sebelum Jonnybone menyempurnakan pelepasan konvoi KMJG ke destinasi seterusnya. – Penerangan–