“Identiti mangsa yang maut masih tidak diketahui berikutan tiada sebarang pengenalan diri ditemui di tempat kejadian”
-DSP SAMMY NEWTON-
Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN
RANAU: Seorang lelaki tanpa identiti maut apabila motosikal yang ditunggangi terlibat kemalangan di Kilometer 8, Jalan Lohan – Poring dekat Kampung Lohan Ulu di sini pada Rabu.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Sammy Newton, berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
Menurutnya, dalam kejadian lebih kurang 7.50 malam, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda telah bertembung dengan sebuah lagi motosikal jenis Modenas ditunggang seorang lelaki.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kedua-dua penunggang motosikal terbabit bertembung sesama sendiri. Bagaimanapun penunggang motosikal Modenas hanya mengalami kecederaan,” katanya.
DSP Sammy berkata, identiti mangsa yang maut masih tidak diketahui berikutan tiada sebarang pengenalan diri ditemui di tempat kejadian.
Motor jenis Honda yang ditunggang mangsa
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama saksi awam yang melihat kejadian untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau ditalian 088-875 222 atau tampil memberi keterangan.
“Waris atau sesiapa yang mengenali mangsa diminta menghubungi pihak polis untuk tujuan pengecaman dan membantu siasatan.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Mayat dan mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Ranau,” katanya.-TAMAT–