LABUAN: Seorang lelaki tempatan yang juga penjawat awam bakal berdepan tindakan undang-undang selepas membuat laporan palsu berkaitan kehilangan MyKad kononnya disamun oleh dua lelaki bermotosikal.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Ahmad Jawila (gambar) berkata, penjawat awam berusia 27 tahun itu membuat laporan polis pada 3 November, kira-kira 8.30 dan mendakwa dirinya telah disamun dua lelaki yang menggunakan motosikal semasa sedang berjalan kaki di kawasan Pasar Raya Milimewa.
Berdasarkan laporan itu, penjawat awam berkenaan memberitahu polis bahawa beg silang yang dipakai mengandungi dompet, MyKad, lesen memandu kelas D, kad ATM serta wang tunai sebanyak RM50 dan telefon bimbit jenama Huawei 7 telah dicuri.
“Bagaimanapun, siasatan awal mendapati berlaku percanggahan antara keterangan laporan polis yang dibuat dengan rakaman percakapan terhadap suspek.
“Akhirnya suspek membuat pengakuan bahawa laporan polis yang dibuat adalah tidak benar. Suspek sebenarnya telah tercicir dompet semasa keluar berhibur di salah sebuah premis café di kawasan Pekan Jati pada 03/11/2021.” katanya dalam satu kenyataan media di sini.
Ahmad berkata, suspek sebenarnya telah kehilangan kad pengenalan untuk kali ketiga dan bagi mengelakkan dikenakan denda yang tinggi di Pejabat Pendaftaran Negara sehingga bertindak membuat laporan palsu.
Sehubungan itu satu laporan polis telah dibuat terhadap suspek pada 4 November atas kesalahan membuat laporan polis palsu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan iaitu iaitu memberi maklumat palsu dengan niat menyebabkan penjawat awam menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang yang mendatangkan bencana kepada orang lain.
Jika didapati bersalah, suspek boleh dihukum penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.