28.4 C
Kota Kinabalu
Rabu, Julai 16, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Peningkatan peruntukan RM70 juta bukti kerajaan tidak pinggirkan badan-badan keagamaan bukan Islam

Ghani (kelima dari kiri) bersama dengan ketua jabatan dan pemimpin gereja memotong kek sebagai tanda rasminya majlis itu

NABAWAN: Usaha kerajaan Negeri meningkatkan peruntukan bantuan kewangan berjumlah RM70 juta kepada badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubalgih dan persendirian di negeri ini pada tahun depan membuktikan kerajaan tidak pernah meminggirkan badan-badan keagamaan bukan Islam di negeri ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata , dengan adanya peruntukan tersebut membolehkan badan keagamaan bukan Islam, sekolah mubalgih dan persendirian menjalankan aktviti mereka.

Katanya, peruntukan tersebut boleh digunakan untuk membina bangunan baharu atau membaikpulih kemudahan yang berkaitan.

Ghani yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah(LKTNS) berkata demikian kepada media selepas merasmikan sambutan Krismas 2024 anjuran Majlis Gabungan Gereja Kristian Daerah Nabawan yang berlangsung di dewan serbaguna di sini.

Usaha kerajaan ini juga disambut baik oleh Pengerusi Majlis Gabungan Gereja Kristian Nabawan Daud Anggau.

Katanya, bagi pihak gereja-gereja Kristian di daerah ini beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri yang prihatian dan tidak mengabaikan badan-badan keagamaan bukan Islam di sini.

Terdahulu dalam ucapannya, Ghani berkata, kerjasama dan kesepakatan gabungan gereja-gereja Kristuan di daerah ini dalam menjayakan sambutan Krismas pada tahun ini menggambarkan keharmonian dan kesatuan serta sikap saling bertoleransi dalam kalangan masyarakat di sini dan amnya untuk Negeri Sabah.

Katanya, keamanan dan keharmonian yang telah dikecapi sejak sekian lama, walaupun berbeza kepercayaan agama perlu dikekalkan.

“Perbezaan kepercayaan bukan menjadi alasan untuk kita tidak menghormati dan sama-sama memeriahkan sambutan seperti hari Krismas yang kita raihkan
pada setiap tahun. Perkara ini adalah kebiasaan bagi masyarakat berbilang kaum di negeri untuk menghormati perayaan-perayaan agama rakan-rakan dan saudara-saudari kita di Negeri ini, sikap beginilah sepatutnya yang perlu kita terjemahkan dalam mengekalkan perpaduan” jelasnya

Ghani berkata, jika dibandingkan dengan negeri-negeri yang ada di Malaysia, Negeri Sabah adalah Negeri yang mempunyai nilai Perpaduan yang paling baik, kerana walaupun ia mempunyai banyak suku kaum dan kepercayaan mereka boleh bersatu dan saling hormat-menghormati.

“Maka dengan itu, sikap dan amalan ini mestilah kita pelihara bersama dan diteruskan oleh generasi masa hadapan” tambahnya.

Pada masa sama Ghani berkata, sememangnya, Kerajaan Negeri menyediakan dan melaksanakan pelbagai inisiatif yang bertujuan membangun dan menjaga kebajikan gereja-gereja di negeri ini.

Sebagai contoh katanya, Kerajaan di bawah pimpinan Ketua Menteri Sabah pada hari ini, telah memperuntukkan RM56.75 juta untuk bantuan kewangan kepada sekolah dan badan agama bukan Islam bagi tahun 2024.

Katanya, jumlah ini adalah jumlah
tertinggi yang pernah dicatatkan dan menunjukkan peningkatan setiap tahun berbanding bajet tahun sebelumnya.

Ini katanya, bukan sahaja meringankan beban kewangan golongan agama malah institusi pendidikan dalam keagamaan juga turut dibantu dalam memastikan kesejahteraan dan kebajikan masyarakat terus terjaga.

Pada majlis itu Ghani menyampaikan sumbangan kewangan kepada ibu tunggal dan warga emas.

Hadir sama Pegawai Daerah Nabawan Marshal Anthony, Pemimpin Pembamgunan Masyarakat Nabawan Deckson Andipai dan pemimpin-pemimpin gereja Kristian Nabawan.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN