OLEH: ADUKA JASNIN SUMAN
ADMIN: Johnny Gampawi.
RANAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya bertembung dengan sebuah bas express di Kilometer 141, Jalan Kota Kinabalu-Sandakan dekat Kampung Segindai di sini pada malam Isnin.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan (DSP) Mohd Sharul Datuk Haji Abdul Wahab ketika mengesahkannya kepada media berkata, mangsa yang maut berumur 50 tahun berbangsa India.
Ketika kejadian, mangsa seorang peniaga sayur yang memandu kereta jenis Toyota Vigo dipercayai dalam perjalanan dari arah Telupid menghala ke Ranau sebelum terlibat kemalangan kira-kira jam 10.15 malam.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan bas express yang dalam perjalanan dari Kota Kinabalu menuju Semporna.
“Akibat pertembungan itu, mangsa telah mengalami kecederaan parah di bahagian dada sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala pemandu bas express, lelaki berusia 29 tahun hanya mengalami kecederaan ringan luka pada lutut kanan.
“Mujur dalam insiden malang itu, kesemua 41 orang penumpang termasuk seorang pembantu bas dan seorang lagi pemandu kedua tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.
Tambah Mohd Sharul, kes disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sabah dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Ranau menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 10.22 malam dan menghantar dua jentera yang diketuai oleh Norazly Mohd Nauth bersama empat anggota ke lokasi kejadian.-OLEH ADUKA JASNIN SUMAN.


