“Ranau dan Kundasang adalah tempat yang sangat penting untuk pelancongan di Sabah dan Malaysia, jadi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar tidak akan membiarkan kedua-dua kawasan ini begitu sahaja”
–Christina Liew–
Oleh: Cleo Will
RANAU: Para pengusaha pelancongan di daerah ini diminta agar tidak berputus asa apabila mereka melihat tidak ramai pelancong dari China yang datang ke Kundasang, Gunung Kinabalu dan bahagian lain di Ranau, kerana masih ada pelancong dari tempat lain di dunia.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata disebabkan oleh wabak penyakit virus Corona, negara dan khususnya Sabah kehilangan kunjungan pelancong dari China.
“Bagaimanapun, saya yakin ini tidak akan berterusan, dan dianggarkan bahawa ini hanya akan berlaku dalam masa tiga hingga enam bulan sahaja.”Selepas keadaan ini pulih, pelancong dari China akan kembali melawat ke Sabah. Tetapi walaupun bilangan pelancong China telah jatuh, kita masih mengalu-alukan lebih ramai pelancong dari Eropah, Australia, Amerika Syarikat dan negara-negara lain,” katanya.

Sementara itu, Christina berkata kementeriannya telah memohon geran dari Kementerian Kewangan Persekutuan untuk tujuan mewujudkan wajah baru kepada Taman Airpanas Poring Ranau supaya pusat itu dibangunkan selepas 43 tahun beroperasi.
“Ranau dan Kundasang adalah tempat yang sangat penting untuk pelancongan di Sabah dan Malaysia, jadi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar tidak akan membiarkan kedua-dua kawasan ini begitu sahaja.
“Kita berharap peruntukan yang kita pohon akan diluluskan supaya langkah untuk mengubah Poring Hotspring dapat bermula tahun ini juga.
“Kita berterima kasih kerana mempunyai Ahli Parlimen yang baik dan rajin di sini dan beliau bekerja rapat dengan Kementerian kami. Kami akan membincangkan apa-apa yang kurang dalam daerah ini, dan diharapkan kita akan mendapat pembiayaan yang mencukupi untuk melaksanakannya,” katanya.

Liew bercakap semasa merasmikan Sambutan Tahun Baharu Cina Peringkat Daerah Ranau Tahun 2020 yang diadakan di Dewan Masyarakat Ranau pada hari Khamis.
Bercakap lebih awal, Ahli Parlimen Ranau Jonathan Yasin telah meminta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar untuk membuat mekanisme bagaimana bekas Lombong Tembaga Mamut menjadi destinasi pelancongan yang menarik di sini.
Turut hadir Presiden Persatuan Hakka Ranau merangkap Kapitan Cina Paginatan Datuk Jimmy Tham Yuk Leong, Pengerusi Penganjur Chong Peck Heng @ Pehing, Penolong Pegawai Daerah Ranau, Mohd Yuesri Bin Yusoff, beberapa pemimpin kumpulan Cina, ketua-ketua jabatan dan lain-lain. –TAMAT–
