SYABAS…….Datuk Jonathan (kiri) menerima Sijil Penghargaan disampaikan Samsul di Pejabat Pembangunan Negeri Sabah.
Oleh Salwah Aramat
RANAU,: Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau menerima Sijil Penghargaan daripada Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU JPM Sabah) atas pengurusan peruntukan Parlimen yang telus dan berintegriti, dengan perbelanjaan direkodkan mencapai 100 peratus bagi tahun 2025.
Pengiktirafan itu mencerminkan tahap kecekapan serta pematuhan terhadap garis panduan kewangan yang ditetapkan dalam pengurusan dana awam, khususnya melibatkan pelaksanaan program dan projek pembangunan di daerah Ranau.
Sijil penghargaan tersebut disampaikan oleh Pengarah ICU JPM Sabah, Samsul bin Dollah, kepada Datuk Jonathan Yasin sebagai wakil Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ranau.
Datuk Jonathan Yasin dalam kenyataannya merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja Pejabat Parlimen Ranau atas komitmen dan kerjasama yang diberikan dalam memastikan pengurusan peruntukan dilaksanakan secara teratur dan berkesan sepanjang tahun lalu.
Beliau berkata, pengurusan dana yang berhemah amat penting bagi memastikan setiap peruntukan yang disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk keperluan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, pelbagai inisiatif kebajikan dan pembangunan telah dilaksanakan di daerah Ranau, termasuk bantuan kepada golongan berpendapatan rendah, sokongan kecemasan kepada mangsa bencana, sumbangan berkaitan pendidikan serta pelaksanaan projek infrastruktur asas di peringkat kampung.
Selain itu, kerjasama strategik dengan agensi kerajaan turut diperkukuh bagi mempercepatkan pelaksanaan projek pembangunan, sejajar dengan usaha kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Dalam sektor kesihatan, antara inisiatif yang diteruskan ialah pemberian rawatan percuma kepada pesakit terlantar di Hospital Ranau, yang memberi manfaat kepada golongan memerlukan.
Pengiktirafan daripada ICU JPM Sabah ini dilihat sebagai satu penanda aras terhadap tahap tadbir urus kewangan yang baik dalam pengurusan peruntukan Parlimen, selain mencerminkan keupayaan pentadbiran di peringkat kawasan.



