27 C
Kota Kinabalu
Selasa, Februari 18, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pengguna rayu laluan alternatif dinaik taraf untuk kemudahan bersama

“Dalam kesyukuran pulihnya laluan utama Kundasang – Ranau, kita berharap jalan-jalan alternatif sebelum ini diberi keutamaan untuk dinaik taraf oleh pihak berkuasa kerana inilah satu-satunya laluan jika berlaku masalah di jalan utama,”

-Faimin Kamin-

Oleh: ADUKA JASNIN SUMAN.

RANAU: Ekoran kejadian tanah runtuh di Kundasang yang mengakibatkan laluan utama Kota Kinabalu-Pantai Timur Sabah terputus dalam kejadian 8 Disember 2019, ramai pengguna mengharapkan laluan alternatif sedia ada dinaik taraf.

Mereka berkata, beberapa jalan kampung yang digunakan sebagai laluan alternatif sepanjang tempoh kerja-kerja pembaikan jalan utama yang terputus di Kilometer 96.7 itu perlu diselenggara sekaligus dinaik taraf.

HAJI FAIMIN KAMIN

Hal itu penting, kerana bencana alam seperti tanah runtuh boleh berlaku bila-bila masa dan lebih perit jika melibatkan kerosakan jalan raya utama yang menjadi laluan setiap hari.

“Dalam kesyukuran pulihnya laluan utama Kundasang – Ranau, kita berharap jalan-jalan alternatif sebelum ini diberi keutamaan untuk dinaik taraf oleh pihak berkuasa kerana inilah satu-satunya laluan jika berlaku masalah di jalan utama.

“Naik taraf jalan di kawasan ini juga boleh membantu petani untuk mengeluarkan hasil pertanian mereka tanpa bergantung kepada kendaraan pacuan empat roda. Janganlah jadikan jalan ini seperti habis manis sepah  dibuang,” kata salah seorang pengguna jalan raya Kota Kinabalu-Ranau, Haji Faimin Kamin.

HAJI GAHAMAT SILUN

Seorang lagi pengguna, Haji Gahamat Silun turut berharap agar pemimpin tempatan khususnya wakil rakyat yang terdiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen (MP) berusaha mendapatkan peruntukan untuk menaik taraf jalan-jalan alternatif di daerah ini.

“Adalah menjadi harapan kami  masyarakat di daerah Ranau serta pengguna lain agar laluan  alternatif ini dibaiki dan diturap, bukan sahaja untuk keselesaan pengguna malah menjadi kemudahan penduduk beberapa buah kampung yang menjadikan jalan berkenaan sebagai laluan utama mereka untuk melakukan aktiviti harian,” kata Haji Gahamat.

Drs. JOHALIM HAJI ESHIM

Sebelum kejadian tanah runtuh dan jalan raya utama putus di kilometer (KM) 96.7 dekat Kg.Pinausok, Kundasang pada awal Disember tahun lalu, beberapa insiden seumpamanya yang pernah berlaku memaksa beberapa jalan kampung dijadiakan sebagai laluan alternatif.

Bagaimanapun, keadaan jalan di sepanjang laluan alternatif seperti Kg.Kibbas-Mohimboyon-Kundasang dan Pinousuk-Semuroh-Kundasang  termasuk Kg.Pinausok – Kouluan – Kundasang yang  berlubang, sempit, berbukit dan tidak berturap  lebih 10 kilometer, menyukarkan pergerakan kenderaan selain mengundang bahaya di kalangan pengguna dan penduduk.

JOHARI SALIM

Beberapa lagi pengguna  yang sempat ditemui berkata, sudah tiba masanya jalan-jalan kampung yang sering dijadikan laluan alternatif diberi perhatian sewajarnya dan tindakan segera pihak berkuasa khusunya kerajaan.

Seorang penduduk Kg.Mohimboyon, juga pengguna jalan yang dijadikan laluan alternatif hampir sebulan sejak 8 Disember lalu, Johalim Haji Eshim berkata, sekiranya jalan berkenaan dinaik taraf, ianya bakal memberi impak besar kepada lebih-kurang lapan buah kampung berhampiran.

“Jika jalan ini dinaik taraf, penduduk beberapa buah kampung  yang menjadikan pertanian sebagai aktiviti utama tidak lagi berdepan masalah besar untuk memasarkan hasil pertanian mereka,” katanya.

Antara laluan alternatif yang sukar dilalui

Seorang lagi pengguna, Johari Salim yang turut berkongsi catatan di Facebook berpendapat, jika laluan alternatif setaraf dengan jalan utama, secara tidak langsung pemandu yang membawa pelancong akan memilih laluan berkenaan sambil melihat pemandangan indah dan tempat-tempat menarik  yang terdapat sepanjang jalan.

“Pada masa sama, ini akan membuka peluang kepada penduduk kampung untuk mempromosi produk tempatan yang mampu menjana pendapatan sekaligus menggalakan penduduk mewujudkan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi pelancong ,” katanya.-TAMAT-

BAHAYA….Sempit dan berbukit
ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN