Pegawai Bahagian Penguatkuasaan Trafik IPD Ranau membuat pemeriksaan keatas beberapa penunggang motorsikal dari kalangan pelajar sekolah pada Selasa.
RANAU: Pengguna motorsikal dikalangan pelajar sekolah perlu memiliki lesen yang sah untuk menggunakan kenderaan itu ke sekolah bagi mengelak tindakan perundangan dikenakan keatas mereka.
Ketua Polis Daerah Ranau, DSP Simiun Lomudin berkata, terdapat beberapa aduan diterima dari pentadbir sekolah yang menyatakan terdapat segelintir pelajar menunggang motorsikal tanpa memiliki lesen yang sah.
“Kesalahan menunggang motorsikal tanpa lesen yang sah boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 26 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM 2,000’’. Tegasnya.
Simiun turut menjelaskan, sekiranya pelajar sekolah terbabit dengan insiden kemalangan, mereka tidak dilindungi insuran sebaliknya kesalahan itu bakal berdepan dengan kompaun di bawah Seskyen 15 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan motorsikal boleh disita dibawah Seksyen 64 (1) akta yang sama.
Katanya, seseorang pelajar yang layak memohon lesen motorsikal mestilah berusia 16 tahun keatas untuk lesen kelas B2 dan B seperti mana yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sebelum itu, dalam satu pemeriksaan mengejut yang dilakukan oleh Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah Ranau di jalan utama berdekatan sebuah sekolah dekat sini pada Selasa mendapati, beberapa penunggang motorsikal dikalangan pelajar sekolah tidak mempunyai lesen yang sah selain cukai jalan motorsikal juga telah tamat tempoh.
Namun demikian, atas budi bicara pihak polis, kesemua pesalah hanya diberikan amaran tegas agar mereka segera mendapatkan lesen memandu yang sah sebelum membawa motorsikal ke sekolah.
Dalam pada itu, Simiun turut menasihatkan mana-mana penunggang motorsikal tidak mengubah suai silancer atau tabung ekzos motorsikal mereka bagi mengelak gangguan bunyi bising sehingga menggangu ketenteraman awam.
“Pihak kami tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pemilik motosikal yang mengubahsuai ekzos sehingga mengeluarkan bunyi bising dan menimbulkan rasa tidak selesa pada masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.