24 C
Kota Kinabalu
Isnin, Julai 15, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pengerusi MPKK Diingat Laksana Tanggungjawab Dengan Amanah

OLEH MARRYAN RAZAN

MATUNGGONG: Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick mengingatkan semua Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di negeri ini supaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah demi kemajuan kampung masing-masing.

Beliau berkata, ini kerana MPKK adalah mata dan telinga kerajaan untuk melihat, mendengar dan menyampaikan permasalahan yang dihadapi penduduk kampung kepada pihak berkuasa.

Ewon bersalaman dengan pengerusi-pengerusi MPKK Matunggong.

“Saya berharap semua pengerusi dan biro-biro MPKK yang menerima watikah pelantikan dapat menjalankan tugas masing-masing dengan penuh integriti dan bekerja sebagai satu pasukan bagi memastikan program-program pembangunan kerajaan di kampung mereka sampai kepada sasaran.

“Oleh itu MPKK perlu menunjukkan komitmen tinggi dan bersikap adil dalam menyantuni semua anggota masyarakat tanpa mengira latar belakang, fahaman politik, keturunan dan pegangan agama,” katanya.

Datuk Ewon Benedick-
Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan MPKK Matunggong, di Dewan Pejabat Daerah Kecil Matunggong, di sini, hari ini (Selesa).

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah Fredian Gan, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Matunggong Barlus Mangabis, Penolong Pegawai Daerah Kecil Matunggong Francis Chong dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

Ewon bergambar bersama MPKK wanita

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, bagi meningkatkan pengetahuan dan memperkasakan kepimpinan serta urus tadbir MPKK di seluruh Sabah termasuk di Matunggong, kementeriannya akan meneruskan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran.

“Modul yang disediakan dalam latihan itu merangkumi subjek persediaan asas bertujuan mempersiapkan MPKK dengan ilmu dan kemahiran, bersesuaian dengan tugas mereka untuk mengurus kampung masing-masing termasuk anggota masyarakat.

“Kursus berkenaan bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab badan-badan MPKK, pentadbiran daerah, pengendalian mesyuarat dan kefahaman mengenai isu-isu keselamatan dan kesejahteraan kampung,” katanya.

Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada salah seorang MPKK.

Pada majlis itu Ewon turut menyampaikan sumbangan touchpoints sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Rungus Bersatu Sabah bagi menjayakan aktiviti-aktiviti persatuan itu.

Sementera itu Francis berkata, secara keseluruhannya Daerah Kecil Matunggong mempunyai seramai 157 badan MPKK dan setakat ini 150 pengerusi MPKK telah menerima watikah pelantikan dan selebihnya dalam proses pelantikan dan akan diserahkan dalam masa terdekat.

“Kelewatan pelantikan beberapa pengerusi MPKK disebabkan masalah teknikal seperti kesalahan ejaan nama,” katanya.

Beliau juga berharap agar pengerusi-pengerusi MPKK dapat melaksanakan tugas dengan lebih profesional, berinformasi dan berkemahiran.-TAMAT-

Ewon bergambar bersama semua MPKK yang menerima watikah pelantikan pada majlis itu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN