33 C
Kota Kinabalu
Ahad, Julai 14, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

PENGALAMAN KE AIR TERJUN MINISULAI, SATU LAGI KHAZANAH ALAM MENARIK DI RANAU

Gambar atas: Keunikan tembok batu di Sungai Torolobou memukau mata

RANAU yang terletak di bahagian Pantai Barat Negeri Sabah sememangnya terkenal dengan khazanah alam yang menarik. Keunikan nama ‘Ranau’ itu sendiri mengambil nama sempena nama ‘Ranahon’ dalam bahasa tempatan yang membawa maksud sawah padi pun sudah cukup sebagai satu tarikan.

Sejak pembukaan semula sektor pelancongan negeri di bawah bayu ini, Daerah Ranau terus menjadi pilihan utama destinasi ramai pelancong dalam dan luar.

Menjelang musim-musim perayaan dan cuti persekolahan dapat disaksikan sendiri suasana di daerah ini akan menjadi sibuk dengan kedatangan para pelancong yang berkunjung ke pelbagai tempat menarik mencakupi tempat penginapan, pusat rekreasi, taman dan pusat pertanian serta sebagainya.
Sebenarnya, masih banyak tempat terutama di kawasan perkampungan yang mempunyai potensi untuk dibangunkan.

Kekangannya ialah para penduduk di kawasan tersebut kurang kepakaran dan pengetahuan memulakan pengurusan dan membangunkan kawasan-kawasan berpotensi.

Titisan air yang menarik
 

Tambahan pula tempat-tempat ini juga biasanya berada dalam kawasan yang jauh dan terpencil di mana penduduk yang mendiami kawasan itu masih lagi kekurangan dari segala sudut kemudahan infrastruktur seperti jalan raya, elektrik, air,pusat kesi hatan dan sebagainya.

Baru-baru ini, Primus Gahun yang bertugas sebagai Pembantu Pegawai Perhubungan Parlimen P179 Ranau, bersama rakan sekerjanya Tiwol Alantas telah mengadakan satu program khas ke Kampung Bayag, kira-kira 22 Kilometer dari Pekan Ranau.

Program tersebut dinamakan Ekspedesi Menjelajah Kawasan Air Terjun Minisulai, Sungai Torolobou yang disifatkannya sebagai satu lagi tempat yang mempunyai khazanah alam yang menarik di daerah ini.

Program tersebut adalah atas jemputan mantan Ketua Kampung Bayag, Jius Komin yang bertujuan meninjau sendiri khazanah alam yang terdapat di kawasan tersebut.

Mengongsikan pengalaman yang dilaluinya, Primus menceritakan, ekspedesi ke Air Terjun Minisulai dari perkampungan Bayag sejauh lebih kurang 3 kilometer memakan masa lebih daripada sejam. Sepanjang perjalanan, mereka meredah hutan dara yang belum pernah diteroka.

Berbagai jenis spesis tumbuhan hijau yang menarik termasuklah pokok-pokok bersaiz besar dan tinggi. Banir besar yang ada pada sebahagian pokok menggambarkan usia pokok menjangkau ratusan tahun.

( dari kanan ) Perimus, Jius dan Tiwol bergambar di kawasan Air Terjun Minisulai

Katanya, dari jauh lagi kedengaran deru air sungai yang mengalir tenang seakan menyambut kehadiran kami. Semakin menghampiri kawasan air terjun semakin redah keletihan kami. Air Sungai Torolobou begitu segar, jernih dan bersih.

Kami berehat seketika di satu kawasan lapang dan merasai sendiri kesegaran air dengan merendamkan kaki yang lesu dan letih sambil merenjiskan air ke muka masing-masing.
 
 
Katanya, walaupun air di tempat mereka berehat itu cetek tetapi dia mendapati banyak anak ikan di dalam sungai. Primus membayangkan kawasan-kawasan yang berlubuk di sepanjang sungai pastinya banyak ikan besar.

Menurut Jius katanya, kawasan Sungai Torolobou tersebut sudah diwartakan sebagai Sungai Tagal. Sepanjang menyusuri Sungai Torolobou mereka dinasihatkan agar lebih berhati-hati kerana sebahagian batuan sungai berlumut.

Keunikan pemandangan di sepanjang sungai dan corak lapisan pada dinding-dinding tembok batuan sangat memukau mata bagaikan diukir oleh sang pengukir yang telah berkurun lamanya, katanya.

Sebelum menaiki tembok batuan untuk tiba ke air terjun, mereka memasuki satu kawasan lorong yang seakan berbentuk gua. Bau hanyir yang mereka hidu menandakan di kawasan tersebut dipenuhi kelawar. Mereka menyaksikan ratusan kelawar berterbangan masuk dan keluar dari ruangan itu.

Ada satu kawasan yang sangat menarik katanya. Ada titisan-titisan air yang mencurah yang datang dari atas permukaan tembok batu. Beliau tidak dapat mempastikan tetapi mengandaikan titisan air itu mungkin limpahan air terjun dari bahagian atas.

Beliau menceritakan, semakin menghampiri destinasi semakin mencabar laluannya. Untuk melihat lebih dekat pemandangan Air Terjun Minisulai, kami terpaksa berhati-hati memanjat tembok batu. Kami merangkak sambil naik ke atas. Ia satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan katanya.

Lebih kurang jam 11.30 pagi, akhirnya kami berjaya tiba ke destinasi. Saya dan rakan tergamam melihat keindahan air terjun yang sungguh mengasyikkan. Air Terjun Minisulai setinggi 12 meter lebih itu mencurah ke bawah di celahan dinding tembok batu katanya.

Primus memegang banir pokok yang mungkin  berusia ratusan tahun

‘Minisulai’ menurut Jius, adalah panggilan dalam bahasa tempatan yang bermaksud pertemuan di antara dua tembok batu (pampang) yang besar. Sebab itulah penduduk Kampung Bayag menamakan ia Air Terjun Minisulai kerana air tersebut mengalir dan mencurah ke kawasan pertemuan dua tembok batu yang panjangnya hampir 300 meter.

Air Terjun Minisulai, Sungai Torolobou adalah terletak di persempadanan di antara tiga buah kampung iaitu Kampung Bayag, Kampung Kitaih dan Kampung Togoyog.

Menurut Primus, dia dan rakannya Tiwol akan membawa ke pengetahuan Ahli Parlimen Ranau, YB. Datuk Jonathan Yasin tentang hasil tinjauan dan potensi kawasan tersebut.

YB. Datuk Jonathan sememangnya sentiasa memberikan sokongan sebarang usaha membangunkan tempat-tempat pelancongan yang baru di daerah ini kerana selain dapat menarik lebih ramai pelancong ia juga mampu menjadi salah satu sumber pendapatan penduduk berkenaan.
 
 



ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN