ADVERTISEMENTspot_img

Pengakap Kelana Sembulan Agih 250 Pek Makanan Menerusi Program Singgah Sahur

KENANGAN….Pengarah program, Muhammad Ammar Fahim Mohd Ishak (kanan) Muhammad Haziq Alias, pemimpin Kelana (ketiga dari kanan) bersama Mohd Nuriman Aron, Pegawai Jualan Borenos (tengah depan), serta ahli Pasukan Pengakap Kelana Canon Daerah Sembulan merakam gambar kenangan bersama bungkusan makanan sahur sebelum diagihkan kepada penerima.


KOTA KINABALU: Seramai 18 ahli Pasukan Pengakap Kelana Canon Daerah Sembulan menyertai Program Singgah Sahur: Kasih dan Prihatin yang dilaksanakan awal pagi tadi bagi menyantuni masyarakat setempat dengan mengagihkan makanan sahur kepada orang awam serta petugas yang menjalankan tugas pada waktu malam.

Pengarah program, Muhammad Ammar Fahim Mohd Ishak, berkata program kebajikan itu melibatkan pengagihan sebanyak 250 pek makanan sahur di beberapa lokasi utama termasuk Hospital Queen Elizabeth I, Hospital Queen Elizabeth II serta kawasan sekitar daerah Sembulan.

Muhammad Haziq menyerakan makanan sahur kepada petugas keselamatan di kaunter salah sebuah hospital sekitar Kota Kinabalu sambil diiringi Muhammad Ammar Fahim (kiri)



Menurutnya, makanan sahur berkenaan diagihkan kepada petugas hospital, orang awam serta pengawal keselamatan sekolah yang bertugas di sekitar kawasan tersebut sebagai tanda penghargaan atas komitmen mereka menjalankan tugas pada waktu malam sepanjang bulan Ramadan.

Beliau berkata, program itu turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki, selain Majlis Perkhidmatan Masyarakat Sabah (MPMS), Hotspot Trading serta Borenos yang membantu menjayakan pelaksanaannya.

AGIH… Anggota keselamatan daripada Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut menerima agihan bakul makanan sahur dalam program berkenaan. Bakul makanan tersebut disampaikan oleh Pengarah Program, Muhammad Ammar Fahim (kanan).



Tambahnya, penganjuran program tersebut bukan sahaja bertujuan membantu golongan yang memerlukan, malah menjadi platform untuk menyemai nilai keprihatinan, kebajikan serta semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat.

“Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan hubungan antara sukarelawan dan komuniti setempat,” katanya.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN