Kerja-kerja mengaspal jalan ke Kg.Sosondoton Ranau berjalan lancar
RANAU: Lebih 900 penduduk dari tiga buah kampung (Kg.Sosondoton, Kg.Nagaya dan Kg.Tudan) terletak kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.37 Karanaan di sini, menarik nafas lega dan merakam penghargaan terima kasih kepada Menteri Kewangan Negeri Sabah, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.37 Karanaan, Datuk Seri Panglima Haji Masidi Bin Manjun, kerana telah berusaha mendapatkan peruntukan kewangan bagi menaiktaraf (mengaspal) jalan sejauh kira-kira 5 kilometer laluan utama penduduk untuk menghantar hasil pertanian mereka ke pekan Ranau terletak 46 kilometer dari Kg.Sosondoton.
Laluan itu amat penting malah satu kemudahan kepada penduduk dari tiga buah kampung itu menghantar hasil pertanian dan menghantar pesakit ke hospital Ranau terutama musim hujan bila mana jalan tersebut menyukarkan penduduk kerana jalan becak, lecen, berlumpur, selekoh dan curam berbahaya kepada yang berkenderaan.
Ketua Kampung Kg.Sosondoton, Mudi Tipoi bersama Pengerusi JKKK Kg.Sosondoton, Jumilin Yugam, ketika menghubungi Media, mewakili penduduk memuji dan bersyukur terhadap keprihatinan Datuk Masidi membantu mendapatkan peruntukan kewangan untuk mengaspal jalan tersebut.
“Kami amat bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan Datuk Masidi membantu kami menaiktaraf jalan tersebut”, jelas Mudi sependapat dengan Jumilin memberitahu jalan tersebut kini dalam proses penurapan dikendalikan Kontraktor Kekal Mewah dan dijangka siap pertengahan tahun depan.
Mereka turut berbangga dengan kepimpinan Datuk Masidi yang amat prihatin dan sentiasa membantu serta menyelesaikan permasalahan yang di hadapi penduduk DUN Karanaan.
“Pemimpin macam inilah yang harus kita beri sokongan berterusan daripada rakyat akar umbi tanpa mengira kaum, agama dan fahaman politik”, tambah Tipui.