Antara tanah runtuh mengakibatkan batang paip patah.
RANAU: Ketika negara dilanda musim tengkujuh yang menyebabkan berlaku banjir di sana sini, daerah Ranau khususnya kawasan pekan dan beberapa buah kampung pula terputus bekalan air paip daripada Jabatan Air Daerah (JAD) berikutan tanah runtuh menyebabkan batang paip jabatan terputus.
Berikutan itu telah menjejaskan lebih 5,000 penduduk ketiadan bekalan air bersih sejak 20 Disember sehingga hari kini (25 Desimber).
Tinjauan penulis pagi tadi, terdapat beberapa kawasan berhampiran empangan Tadahan Air Sungai Liwagu ‘Water Intak’ Kimolohing berlaku tanah runtuh melibatkan batang paip utama patah tidak dapat dibaiki segera kerana kakitangan JAD Ranau bercuti Hari Natal dan cuti hujung tahun.
Ramai pengguna berasa kesal dengan keadaan yang berlaku, bagaimana pun tiada yang harus dipersalahkan kerana disebabkan cuaca yang tidak menentu.
Ramai pengusaha restoran di pekan Ranau turut kesal dengan keadaan yang berlaku kerana telah menjejaskan perniagaan mereka.
“Sekarang ini ramai pengunjung ke Ranau sempena cuti Krismas dan tahun baru turut terjejas dengan keadaan ini terutama kepada mereka yang merayakan Hari Natal”, jelas beberapa pengusaha restoran yang menemui penulis.
Mereka mencadangkan kepada pihak JAD Ranau, supaya memindahkan lokasi tadahan air jabatan itu ke satu kawasan yang pernah dicadang suatu ketika dahulu iaitu ke sungai Nikimura (Sungai Mamut) yang dikenal pasti airnya bersih dan jauh dari sebarang pencemaran dan bukan seperti tadahan sekarang sungai Liwagu dari Kundasang yang dikhuatiri tercemar dengan bahan kimia serta racun rumpai yang digunakan para pekebun sayuran kawasan Kundasang.
Menurut mereka kawasan tadahan yang ada sekarang ini sentiasa terganggu dengan tanah runtuh, banjir ketika musim tengkujuh dan tiada air pula berlaku ketika musim kemarau.
“Keadaan itu telah berlaku sejak tahun 1990-an belum diatasi sehingga hari ini”, jelas jurucakap yang enggan namanya diketengahkan.
           Â