JAMES..Saya sudah divaksin

PAITAN : Penduduk yang tinggal jauh di pedalaman tidak perlu risau mengenai perkhidmatan vaksinisasi yang dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana program itu akan berterusan sehingga mencapai sasaran peratusan pemvaksinan kepada penduduk termasuk mereka yang tinggal diluar bandar.
Menjelaskan perkara itu, Datuk James Ratib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.48 Sugut berkata, usaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak hanya tertumpu dikawasan pekan atau bandar malah akan diperluaskan ke seluruh pelosok kampung termasuk kawasan pedalaman seperti dikawasan Daerah Kecil Paitan yang agak jauh dari hospital utama.
Jelasnya, beliau yakin pihak kerajaan telah merancang beberapa program ‘Outreach’ bagi melaksanakan Vaksinasi Covid-19 kepada penduduk yang tinggal jauh di Pedalaman kerana misi dan visi pihak kerajaan amat jelas untuk mempastikan kesihatan sejagat seluruh masyarakat di negeri Sabah tanpa mengira latar belakang terus terjamin.
‘’Kerajaan memang komited untuk mempastikan program pemvaksinan ini dilakukan secara menyeluruh ke serta tempat di negeri Sabah. Justeru, masyarakat tidak perlu gusar dan apa yang penting, mereka mesti sentiasa mendapatkan maklumat jelas mengenai program pemvaksinan yang dijalankan”, jelas James ketika ditemui dalam program pemvaksinan Covid-19 di Dewan Masyarakat Paitan pada Isnin.
James yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Negeri Sabah menjelaskan, masyarakat perlu mengambil peluang dalam program pemvaksinan tersebut dan membuang stigma ‘Anti-Vaksin’ ekoran terlalu terpengaruh dengan penularan maklumat negatif mengenai vaksin yang diberikan.
Tegasnya, kualiti vaksin seperti Sinovac, Pfizer dan AstraZeneca sememangnya telah melalui ujian makmal yang lengkap dan diperakui oleh para pakar kesihatan dunia dan selamat untuk diberikan kepada masyarakat. Oleh itu, masyarakat tidak perlu gusar mengenai kesan sampingan terhadap kesihatan selepas menerima suntikan tersebut.
‘’Jangan risau kerana sebelum seseorang menerima vaksin tersebut terdapat barisan doktor yang akan memeriksa tahap kesihatan seseorang. Buang sifat anti vaksin ini dan pergilah mendapatkan vaksin Covid-19 untuk kesihatan diri dan keluarga’’, tegas James.
Dalam program tersebut seramai lebih 50 orang penduduk dari Kg. Binsulong, Tampat, Kubambangan, Tangkarason dan Lokang serta pemimpin masyarakat telah menerima vaksin Sinovac yang didahului oleh Datuk James Ratib. Turut hadir mendapatkan vaksin sama adalah Jalil Atang, Pegawai Pembangunan Masyarakat N.48 Sugut dan Penyelia Masyarakat DUN Sugut Sugut, Kamri Gantalou.