Antara penduduk yang hadir menyimen laluan di kawasan Kg.Tungou Ranau.
RANAU: ‘Berdiri Di Atas Kaki Sendiri’ (Berdikari) merupakan asas dan landasan kekuatan serta motivasi kepada penduduk Kg.Tungou Ranau untuk melaksanakan projek-projek kecil diperingkat kampung tanpa terlalu bergantung sangat terhadap sumbangan dan bantuan daripada kerajaan.
Ketua Kampung Kg.Tungou, Muhinin Gisiu berkata, penduduk kampungnya sentiasa bersatu-padu dalam menjayakan kerja-kerja kecil diperingkat kampung secara bergotong-royong ‘Mitatabang’ yang telah diamalkan warga kampung berkenaan sejak dahulu.
“Inilah budaya yang diamalkan penduduk di sini sejak dahulu bagi menjayakan sesuatu kerja secara bergotong royong yang ternyata mampu menyiapkan sesuatu kerja dengan lebih cepat dan menjimatkan kos”, jelas Muhinin ketika ditemui selepas satu gotong royong bagi menyimen jalan raya laluan di kawasan kampung itu baru-baru ini.
Muhinin menyifatkan gotong royong juga mampu mewujudkan Permuafakatan dan Perpaduan dikalangan penduduk tanpa mengira fahaman agama, budaya dan idologi politik.
“Gotong royong kali ke-2 ini, merupakan kesinambungan daripada gotong-royong pertama untuk menyiapkan kerja-kerja yang belum selesai pada gotong royong pertama”, jelas Muhinin sambil merakam penghargaan kepada Menteri Kewangan Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.37 Karanaan, Datuk Seri Panglima Haj Masidi Bin Manjun kerana membantu menyediakan peruntukan kos simen dan pasir bagi tujuan kerja-kerja yang dilaksanakan.
Beliau juga berterima kasih atas kehadiran lebih 20 orang penduduk bagi menjayakan gotong royong tersebut.
            Â



