Penduduk Kg. Silungai, Pagalungan ucap terima kasih kepada MP Pensiangan

Home Tempatan Penduduk Kg. Silungai, Pagalungan ucap terima kasih kepada MP Pensiangan
Penduduk Kg. Silungai, Pagalungan ucap terima kasih kepada MP Pensiangan

KK Buntiyu…..berterima kasih kepada Arthur kerana begitu peka dan pantas bertindak.

NABAWAN:Penduduk di Kampung Silungai dan amnya Daerah Kecil Pagalungan berterima kasih kepada Ahli Parlimen Pensiangan Datuk Arthur Joseph Kurup kerana begitu pantas mengambil perhatian masalah kekangan capaian ‘internet’ di kawasan ini.

Ketua Kampung Silungai KK Buntiyu Mandulun berkata, sususlan laporan portal ini di mana terdapat pelajar terpaksa berjalan kaki naik bukit, panjat pokok mangga untuk dapatkan rangkaian ‘internet’ untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah(PdPR)Arthur yang Timbalan Menteri Kerja Raya mengambil perhatian yang serius kekangan capaian internet yang dihadapi pelajar terutamanya para pelajar di kawasan Pedalaman Sabah.

“Saya mewakili penduduk di Daerah Kecil Pagalungan khususnya Kampung Silungai berterima kasih kepada Arthur kerana begitu peka dan pantas bertindak menghubungi Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia  (SKMM) Cawangan Keningau supaya memberi perhatian khusus terhadap isu capaian ‘internet’ yang masih lemah walaupun terdapat menara projek TIME3 di Pekan Kecil Pagalungan yang jarak udara hanya 2.1km ke Kampung Silungai” katanya.

Sehubungan dengan itu kata Buntiyu, mereka mohon supaya mana-mana kampung yang tidak dapat capaian ‘internet’ diambil perhatian oleh pihak berkuasa.

Pada Khamis lepas Buntiyu  menemui wakil Borneo Daily Bulletin dan memberitahu terdapat pelajar dari Kampung Silungai terpaksa berjalan kaki naik bukit dan memanjat pokok mangga untuk mendapatkan rangkaian ‘internet’ yang jelas.

Katanya, pelajar-pelajar yang terbabit di kampung ini bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK)Logongon, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK)dan SMK Nabawan.

Sementara itu pada Sabtu Ahli Parlimen Pensiangan Arthur Joseph Kurup ketika mengulas perkara itu  berkata, Pendidikan akan memboleh anak-anak Keluarga Malaysia Pensiangan mengubah masa hadapan ke arah yang lebih baik bagi diri dan keluarga mereka kelak.

Sehubungan itu, beliau telah memohon Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia Malaysia  (SKMM) Cawangan Keningau memberikan perhatian khusus terhadap isu yang telah dibangkitkan. 

Berdasarkan semakan data, terdapat menara projek TIME3 di Pekan Kecil Pagalungan yang jarak udara hanya 2.1km ke Kampung Silungai dan didapati di sana mempunyai liputan 3G dan 4G, namun begitu liputan tersebut masih lemah.

Menurut Arthur, tindakan sedang ambil di mana SKMM melalui Projek 3G Sunset akan meningkatkan kualiti perkhidmatan yang lebih baik dalam melayari internet serta perkhidmatan atas talian di kawasan tersebut dan dijangka beroperasi sehingga hujung tahun ini.

Untuk jangka masa panjang, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) sedang dilaksanakan di mana sebanyak 46 buah menara telekomunikasi baharu akan dibina di Parlimen Pensiangan yang dijangka bermula pada suku terakhir 2021 dan akan siap secara berperingkat pada Disember 2022.

Manakala kerja-kerja menaiktaraf 44 buah menara komunikasi yang sedia ada dijangka siap pada suku pertama tahun 2022. Ini akan membantu menyelesaikan masalah liputan internet serta membawa capaian internet yang lebih menyeluruh buat Keluarga Malaysia Pensiangan.