Pita (kanan) menyerahkan Surat Bantahan kepada Jumain diperhatikan yang lain.
RANAU: Penduduk Kg.Bongkud, Kg.Namaus dan beberapa buah kampung lain dinasihatkan supaya bersabar menunggu penyelesaian bantahan mereka terhadap cadangan sebuah Syarikat Carigali (melombong Emas) di bukit Tompong terletak berhampiran Kg.Bongkud dan Kg.Namaus Ranau.
Pegawai Daerah Ranau, Jumain Bin Abd
Ghani berkata, bantahan daripada penduduk terhadap cadangan Carigali Emas itu sudah ke pengetahuan Ketua Menteri Sabah, Ahli Parlimen Ranau, ADUN Paginatan dan ADUN Karanaan yang pastinya akan memberi kerjasama yang terbaik kepada penduduk.
“Apa yang penting ialah, penduduk hendaklah bersabar sementara menunggu satu penyelesaian positif dapat dibuat”, jelas Jumain ketika menerima Kunjungan Hormat lebih 10 orang Jawatankuasa Bertindak Membantah Carigali Emas diketuai Pengerusi sementara Bertindak Membantah, Pita Bin Yusop seterusnya menyerahkan “Surat Bantahan’ itu secara rasmi kepada Jumain.
Pita ketika ditemui, berterima kasih kepada Jumain kerana menyambut ketibaan rombongan Jawatankuasa Bertindak Membantah dan mengharapkan bantahan penduduk mendapat perhatian daripada pihak berwajib.
“Bantahan secara aman tetap kami teruskan bagi menghalang syarikat melombong emas itu daripada meneruskan carigali di bukit Tompong”, jelas Pita sambil menyatakan pelbagai kesan negatif jika carigali itu diteruskan termasuk pencemaran alam sekitar memusnahkan kawasan tadahan air, tanah geran pertanian, perumahan, sekolah, klinik dan banyak lagi.
Menurut pita, lebih 5,000 penduduk dari
puluhan buah kampung akan terjejas sekiranya carigali emas tersebut diteruskan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, IPD Ranau, DSP.Semiun Bin Lomudin turut mengingatkan penduduk agar tidak membantah dengan cara menyalahi undang-undang seperti memaki-hamun, hasutan dan fitnah dan cuba melombong emas dengan cara sendiri.
“Itu semua melanggar undang-undang dan pihak polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya”, tegas DSP Semiun.
Turut hadir ialah, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) N.38 Paginatan, Mohd.Hisyamuddin Bin Harun dan Penyelia Kemajuan Masyarakat kawasan DUN N.38 Paginatan, Sainin@Onit Bin Hamid.



