Robert (kelima dari kanan) bersama pegawai-pegawai penguatkuasa menunjukkan poster larangan merokok pada program itu.
KENINGAU: Memberi pendedahan kepada orang ramai tentang penguatkuasaan akta kawalan produk merokok adalah tanggungjawab bersama.
Pembantu Menteri Kerja Raya Datuk Robert Tawik berkata, pendedahan itu penting dalam memastikan kesihatan awam terutamanya di premis-premis yang disenaraikan sebagai kawasan larangan merokok.
Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor berkata demikian selepas menyertai Program Walkabout Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) yang diadakan di Pasar Malam di sini baru-baru ini.
Program anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Kesihatan Kawasan Keningau itu telah dilancarkan Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.
Menurut Robert, pasar malam tidak terkecuali daripada Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam.
Sepanjang program itu, Robert meluangkan masa menyantuni para penjaja dan juga pengunjung di pasar malam sambil memberi penerangan mengenai penguatkuasaan akta kawalan produk merokok.
“Semoga dengan pelancaran penguatkuasaan ini dapat memberikan gambaran kepada orang awam tentang kesihatan awam dan berharap masyarakat dapat mematuhi akta yang dikuatkuasakan itu” katanya.
Turut serta dalam walkabout itu Timbalan Ketua Polis Daerah Keningau, DSP Alizam Dalaman; Pegawai Kesihatan Kawasan Keningau, Dr.Valentine @ Japulee Gantul; wakil Pegawai Daerah Keningau, Kamaruddin S.Latip; Penolong Pegawai Penguatkuasa Majlis Daerah Keningau, Palik @ Stanley Budas; Wakil Pejabat Kastam Kawasan Keningau, CDO UPPM DUN Bingkor, Tinus Majip serta kakitangan UPPM DUN Bingkor dan kakitangan Pejabat ADUN Bingkor.
Penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam melibatkan sebanyak 28 premis atau lokasi-lokasi dikenalpasti yang disenaraikan sebagai kawasan larangan merokok.



