30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, Februari 14, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

PENDAKI TERPERANGKAP DI GUNUNG KINABALU AKIBAT CUACA BURUK BERJAYA DIBAWA TURUN

KOTA KINABALU: Video tular mengenai sekumpulan pendaki yang terperangkap di Gunung Kinabalu berjaya dibawa turun dengan selamat.

Taman-Taman Sabah (TTS) memaklumkan perkara itu dalam satu kenyataan dalam laman Facebook hari ini.

Video yang dirakam pada Jumaat lalu itu mula tular pada hari ini.

Pengarah TTS, Dr Maklarin Lakim berkata, situasi yang dirakam dalam video tular itu sebenarnya berlaku pada 14 Oktober lalu.

“Aktiviti pendakian pada tarikh tersebut bermula seperti biasa pada jam 2.30 pagi dalam keadaan cuaca yang amat baik.

“Walau bagaimanapun keadaan cuaca mula berubah pada jam 6 pagi dimana hujan lebat dan angin kuat mula berlaku secara luar jangka.

“Para pendaki dengan diiringi oleh malim-malim gunung telah dibawa turun melalui aliran air seperti yang dipaparkan dalam video tular tersebut,” katanya.

Menurut beliau, semua pendaki berjaya dibawa turun dengan selamat.

Jelas beliau, pada pagi tadi, laluan aktiviti pendakian bermula dari Panalaban hingga ke puncak gunung telah ditutup kerana hujan turun pada seawal jam 1 pagi.

Kejadian aliran air deras seumpama ini sering berlaku di Gunung Kinabalu terutama apabila hujan lebat.

Oleh itu, demi keselamatan pendaki, aktiviti pendakian ke puncak gunung akan ditutup sekiranya hujan lebat atau cuaca buruk sesuai dengan prosedur operasi standard (SOP) Pendakian Gunung Kinabalu.

Jika ada sebarang pertanyaan mengenai perkara ini, boleh berhubung terus dengan Komunikasi Korporat Taman-Taman Sabah di talian 088-523531/572 atau emel ke hello@sabahparks.org.my. -Borneo Today

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN