ADVERTISEMENTspot_img

Pencawang Baharu Di Kg Takis Dijangka Selesai Isu Voltan Rendah



PAPAR: Pembinaan sebuah pencawang elektrik baharu di Kampung Takis di sini dijangka mampu mengatasi masalah voltan rendah yang sekian lama dihadapi penduduk serta premis perniagaan di kawasan berkenaan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup merangkap Ahli Parlimen Papar, Datuk Armizan Mohd Ali berkata projek berkenaan telah siap pada 26 Februari lalu dan kini berada dalam fasa pemindahan beban daripada pencawang asal kepada pencawang baharu.

Beliau berkata pencawang itu dijangka beroperasi sepenuhnya selewat-lewatnya pada awal April ini.

“Pembinaan pencawang baharu ini dilaksanakan susulan aduan penduduk berkaitan masalah kesusutan voltan yang berada di bawah paras nominal 216 volt, yang telah lama menjejaskan kediaman serta premis perniagaan di sekitar Kampung Takis,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau projek pembinaan pencawang elektrik baharu itu sebelum menghadiri Majlis Berbuka Puasa di Masjid As Sobirin, Kampung Takis, di sini hari ini.

Armizan berkata masalah voltan rendah bukan sahaja menjejaskan kelancaran penggunaan elektrik harian, malah dalam keadaan tertentu turut menyebabkan kerosakan peralatan elektrik serta meningkatkan risiko litar pintas yang boleh mengganggu operasi perniagaan dan urusan harian penduduk.

Menurutnya, dengan beroperasinya pencawang baharu itu kelak, bekalan elektrik di kawasan berkenaan dijangka menjadi lebih stabil selain mampu menampung peningkatan penggunaan elektrik di kawasan sekitar.

“Saya berharap penduduk di Kampung Takis dan kawasan berhampiran dapat menyambut Aidilfitri tahun ini dengan bekalan elektrik yang lebih stabil dan selesa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Sabah Electricity Sdn Bhd (SE) turut melaksanakan beberapa projek pembinaan pencawang elektrik baharu di beberapa kampung dalam Parlimen Papar bagi mengatasi masalah gangguan bekalan elektrik.
Katanya, pada 2025 beberapa projek pencawang elektrik baharu telah siap dan mula beroperasi di kawasan Papar, antaranya di Kampung Beringgis, Kampung Sekayan, Kampung Kawakahan dan Kampung Sagang.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan penduduk yang berdepan masalah sama agar menyalurkan aduan rasmi kepada pihak SE atau Pejabat Parlimen Papar bagi membolehkan semakan serta tindakan lanjut diambil.

Armizan turut merakamkan penghargaan kepada pihak SE atas komitmen dalam memastikan kemudahan asas seperti bekalan elektrik terus diberi perhatian demi kesejahteraan rakyat.


ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN