32 C
Kota Kinabalu
Ahad, April 21, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pemuda STAR yakin barisan kabinet baharu mampu tadbir negeri dengan berkesan

KOTA KINABALU: Pergerakan Exco Wiramuda Parti Solidariti Sabah Tanah Airku (StarSabah) yakin barisan jemaah menteri yang baru selepas rombakan dilakukan Ketua Menteri Sabah mampu mentadbir negeri ini dengan berkesan untuk memacu ekonomi dan pembangunan.

Ketuanya, Kong Soon Choi (gambar) berkata, pengisian beberapa muka baru di kementerian tertentu merupakan pemimpin berpengalaman dan boleh membantu Ketua Menteri melaksanakan pentadbiran kerajaan negeri dengan lebih berkesan.

Katanya, menerusi maklum balas yang beliau terima daripada rakyat akar umbi, rata-rata mengharapkan agar keputusan rombakan kabinet itu dapat mengurus tadbir negeri ini dengan lebih maju lagi.

“Rakyat akar umbi sudah tentu optimis ingin melihat gerak kerja yang mantap lebih-lebih lagi dari sudut pembangunan infrastruktur seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik. Maka saya yakin apa yang dilakukan oleh Ketua Menteri Sabah tepat pada masanya”. Tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan Istana Negeri Sabah selepas menghadiri Majlis Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Jemaah Menteri dekat sini pada Rabu.

Kong yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berkata, rombakan barisan kabinet baru itu diharap telah menyelesaikan kemelut politik negeri Sabah dan sampai masanya untuk melaksanakan amanah rakyat.

Jelasnya, mana-mana pihak yang masih lantang mempersoalkan agenda politik perlu bertenang dan meneruskan sumbangan idea bernas kepada pentadbiran kerajaan negeri agar sama-sama dapat membangunkan negeri ini.

“Apa yang telah diselesaikan, kita perlu hormati walaupun anda berada pada blok pembangkang sekalipun. Kerana pilihanraya negeri hanya sekitar beberapa tahun lagi daripada sekarang. Jadi waktu itu baru kita bicarakan tentang isu politik pula. Ini masanya untuk kita berganding bahu membahaskan dasar-dasar yang mampu membangunkan negeri Sabah dengan lebih maju lagi”. Katanya.

Pada Rabu, tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah mengangkat sumpah jawatan sebagai Ahli Jemaah Menteri baharu Kerajaan Sabah di Istana Seri Kinabalu.

Ahli Jemaah Menteri baharu Kerajaan Sabah mengangkat sumpah adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah yang juga Adun Api-Api, Datuk Christina Liew, Phoong Jin Zhe daripada DAP (Luyang), dan James Ratib daripada Barisan Nasional (Sugut).

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN