ADVERTISEMENTspot_img

PEMIMPIN WANITA PERLU DIPERKASA : AZIZAH

Terima kasih…Azizah menyampaikan cenderahati kepada penceramah

KOTA KINABALU: Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Datuk Seri Panglima Azizah Mohd Dun menyeru agar usaha memperkasa kepimpinan wanita di Sabah terus diperkukuh bagi melahirkan lebih ramai pemimpin wanita yang berkualiti, berwibawa dan berdaya saing.

Menurut beliau, jumlah pemimpin wanita di negeri ini masih rendah dan memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk berpandukan dapatan kajian yang telah dilaksanakan oleh pihak IDS.

“IDS mempunyai data dan hasil kajian yang jelas menunjukkan keperluan untuk meningkatkan penglibatan wanita dalam kepimpinan. Kita bukan sahaja mahu melihat pertambahan jumlah, tetapi juga memastikan mereka mempunyai kualiti serta kelayakan yang tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bengkel Memperkasa Kepimpinan Wanita Sabah, di sini, hari ini.

Azizah yang juga Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah (GRS) menegaskan bahawa pembentukan pemimpin wanita berkaliber perlu bermula dengan asas komunikasi yang jelas, kefahaman mendalam terhadap isu serta persediaan rapi dalam setiap tanggungjawab.

“Seorang pemimpin mesti jelas dalam pertuturan, memahami isu yang dibawa dan sentiasa membuat persediaan. Program seperti bengkel ini sangat penting kerana menyediakan latihan praktikal seperti pengucapan awam, latihan dalam kumpulan dan pembentangan.

“Di sinilah nilai kepimpinan, ilmu dan semangat kebersamaan dapat dibentuk, sama seperti peranan seorang pemimpin dalam membawa suara rakyat,” jelasnya.


Tambah beliau, pengalaman juga memainkan peranan penting dalam membentuk kredibiliti seseorang pemimpin agar lebih diyakini dan dihormati masyarakat.

“Pemimpin perlu berani memikul tanggungjawab selepas menerima mandat. Persediaan yang rapi sebelum menghadiri sesuatu program atau berucap mencerminkan tahap intelektual dan kesungguhan seseorang pemimpin.

“Kita tidak boleh bercakap tanpa persediaan kerana ia akan menjejaskan keyakinan terhadap kepimpinan kita,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan pembelajaran berterusan dalam kalangan pemimpin wanita agar sentiasa relevan dengan perkembangan semasa.

“Dunia hari ini bergerak pantas. Kita perlu sentiasa menambah ilmu, memahami isu semasa dan bersedia menyesuaikan diri. Proses pembelajaran tidak pernah berhenti dan tiada had masa,” katanya.

Bengkel tersebut disertai seramai 35 peserta terdiri daripada ahli wanita GRS dari Parlimen Kota Kinabalu, Putatan, Penampang dan Sepanggar.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN