ADVERTISEMENTspot_img

Pemimpin komponen GRS digesa terus mempromosikan keharmonian, elak perpecahan: Robert

KENINGAU: Semua pemimpin dalam parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) digesa untuk terus mempromosikan keharmonian dan mengelak perpecahan yang boleh meruntuhkan kekuatan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Timbalan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Datuk Robert Tawik berkata, walaupun kadang-kala wujud perbezaan pendapat dikalangan pemimpin GRS, namun ia bukan suatu tiket untuk mencetuskan perbalahan yang akhirnya meruntuhkan kekuatan parti sehingga ada yang membawa haluan sendiri kerana rasa tidak berpuas hati atau kecewa.

‘’Memang dalam politik, terdapat perbezaan pendapat dikalangan pemimpin mahupun ahli parti dalam komponen GRS. Namun, sebagai pemimpin politik yang matang, kena ada persefahaman untuk bertolak-ansur agar parti kita terus kukuh bagi menghadapi PRN akan datang yang agak mencabar’’. Katanya.

Robert yang juga Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah dan Adun Bingkor menjelaskan, pemimpin dan ahli-ahli parti komponen GRS tidak seharusnya mendabik dada dengan apa juga program yang dilaksanakan dan bangga dengan arah sokongan yang diterima.

Katanya, terdapat sesetengah pemimpin dan ahli parti yang bangga apabila program yang dilaksanakan dikawasan mendapat sambutan memberangsangkan sehingga mereka tidak menjemput salah seorang pemimpin dan ahli-ahli parti lain yang sama-sama berjuang dalam GRS.

“Jangan bersikap sedemikian, GRS adalah parti yang kita sama-sama perlu perkukuhkan untuk menghadapi parti lawan dalam PRN akan datang. Amalkan slogan ‘Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh’”. Tegasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau turut mengulangi kesetiaannya kepada kepimpinan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi GRS termasuk kepada seluruh kepimpinan komponen parti tersebut.

Katanya, beliau yakin GRS merupakan pilihan utama rakyat Sabah dalam PRN akan datang kerana parti ini bukan sahaja mencorakkan pentadbiran berteraskan keadilan kepada semua kaum dan agama di Sabah malah konsisten dalam perjuangan mempastikan hak-hak negeri terus terbela sepenuhnya.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN