JAHID Ketika berucap merasmikan program penutupan kursus secara maya.
KOTA KINABALU: Pemimpin Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) digesa membiasakan diri dengan pengetahuan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menjadi trend dunia masa kini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim, berkata, pemimpin di peringkat akar umbi perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan ICT untuk memudahkan kerja selain memperolehi ilmu tambahan dalam menjalankan tugasan.
“Peningkatan pengetahuan dalam ICT juga penting bagi menghadapi cabaran dalam pelbagai bidang, selain bagi memperkasakan pengalaman sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Kursus Pengurusan JPKK Siri 1/2021 anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS) secara maya di Bilik Mesyuarat, Blok C KPLBS, yang diadakan pada Rabu dan Khamis lalu.
Turut hadir Setiausaha Tetap (SUT) KPLBS, Datuk Faimin Kamin, dan Timbalan SUT 1, Aftar Nurajat, Setiausaha Rendah Pembangunan Modal Insan, Nekmah Abdullah, serta para pegawai kanan KPLBS.
Katanya, para pemimpin JPKK perlu menggunakan segala aplikasi perhubungan dengan baik bagi memastikan segala maklumat dapat disalurkan secara berkesan kepada rakyat.
“Kerajaan kini juga sedang berusaha memperluaskan liputan internet di serata negara, bagi memastikan rakyat tidak ketinggalan dalam era digital,” katanya.
Menurut beliau, JPKK merupakan antara benteng penting dalam kepimpinan akar umbi, kerana tanpa mereka, kestabilan di peringkat kampung tidak akan wujud dan kemajuan tidak akan menjengah.
“Kamu ada cerminan kerajaan, baiknya kepimpinan kamu, maka baiklah kerajaan di mata rakyat,” ujar Jahid.
Justeru, beliau yang juga Wakil Rakyat Tamparuli, menggesa agar JPKK sentiasa mendekatkan diri dengan ahli masyarakat dan pemimpin-pemimpin di kawasan masing-masing, termasuklah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) dan Pejabat Daerah.
“Segera beri maklum balas sekiranya menerima surat pekeliling daripada pihak Pejabat Daerah atau UPPM, sentiasa dekati mereka, dan biarlah hubungan itu akrab bagi mempermudahkan segala urusan,” tambahnya.
Dalam pada itu, JPKK turut diingatkan agar dapat memastikan penduduk kampung mereka tidak tertinggal untuk menerima suntikan vaksinasi, dan membuat kemas kini data senarai lengkap penduduk yang telah dan belum divaksin di kampung masing-masing.
“Ini kerana telah terbukti bahawa data paling tepat adalah menerusi badan JPKK yang telah membuat kiraan dan statistik di peringkat kampung,” katanya.
“Maka, sekembalinya kamu nanti, terus buat kemaskini jumlah tersebut, kerana baharu-baharu ini mungkin sudah ada perubahan dari segi bilangan memandangkan program imunisasi juga telah dibuka kepada golongan remaja,” ujar beliau.
Kursus Pengurusan JPKK Siri 1/2021 Sesi Pertama dan Kedua secara maya menerusi aplikasi Zoom itu telah diadakan selama dua hari bagi kawasan Tuaran (Sesi Pertama), Kudat, Pitas dan Kota Belud (Sesi Kedua).