26 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 15, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pemilik audio “Masuk-masuk, jangan tembirang bei” tampil mohon maaf.

ATHIRAH IZZ...tampil memohon maaf

RANAU: Pemilik audio “Masuk-masuk, jangan tembirang bei” yang tular di media sosial baru-baru ini tampil memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak.

Dikenali sebagai Athirah Izz, beliau merupakan pelajar salah sebuah sekolah menengah di daerah ini yang terlibat merakam insiden pergaduhan sekumpulan pelajar pada 13 ogos lalu sehingga tular, hari ini telah memuat naik permohonan maaf beliau secara terbuka menerusi youtube.

Athirah Izz, meluahkan rasa kesal dengan insiden itu sambil memohon maaf kepada semua pihak terutama kepada kedua ibu bapanya dan pihak sekolah.

Rakaman video berdurasi 2 minit 28 saat bertajuk ‘Diri Sebenar Masuk-Masuk’, Atihrah Izz turut mengakui apa yang telah berlaku merupakan satu kesilapan.

“Di sini saya dengan rendah diri menyusun sepuluh jari, memohon maaf sekiranya saya bersalah dalam hal tersebut.

“Kepada pihak sekolah yang telah tercemar atas tindakan luar jangka kami, saya Athirah Izz dengan penuh ikhlas memohon jutaan kemaafan yang tidak terhingga.

“Tiada niat di dalam hati untuk bertindak sedemikian, tapi saya sedar tiada manusia yang sempurna,” luahnya sambil mengakui malu dengan kedua orang tuanya atas apa yang telah berlaku.

Athirah juga mengakui bahawa kedua orang tuanya turut malu dengan perbuatan itu dan telahpun memohon maaf.

“Andai masa boleh diputar, pekara itu tidak akan berlaku, dan saya juga mohon maaf kepada pihak sekolah yang saya sanjungi dan saya kasihi.

“Apapun tindakan sekolah selepas ini, saya redha sebab saya tahu perbuatan itu sesuatu yang salah,” katanya

Athirah turut mengucapkan terima kasih khususnya pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) Ranau, kerana bertindak dengan pantas dan bijaksana dalam mengandalikan kes tersebut.

Sedar dari kesilapan itu, Athirah turut berpesan kepada rakan-rakan pelajar lain di manapun mereka berada termasuk dirinya sendiri  agar tidak mengulangi atau melakukan perkara-perkara yang memalukan diri sendiri, keluarga dan mencemarkan nama baik sekolah, sebaliknya melakukan sesuatu yang  membaggakan orang tua dan masyarakat sekeliling.

“Jangan terlalu ikut emosi sebab siapapun kita, undang-undang itu ada,” ujarnya sambil mengakhiri rakaman dengan kata-kata yang tular dari insiden itu, ” Masuk, jangan tembirang bei”.

Dalam kejadian itu, berlaku pergaduhan sekumpulan pelajar lelaki dipercayai dari sebuah sekolah menengah di sini yang tular di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Video berdurasi 15 saat itu dimuat naik menerusi akaun Facebook oleh seorang pelajar perempuan sebelum dikongsikan pengguna lain.

Dalam rakaman itu, sekumpulan remaja lelaki yang memakai pakaian seragam sekolah menengah membelasah seorang pelajar lain.

Difahamkan, pergaduhan itu berlaku di luar pekarangan sekolah, selepas sesi persekolahan yang dipercayai berpunca daripada salah faham. – Rakaman Youtube: https://youtu.be/N-j2s1M70a4

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN