30 C
Kota Kinabalu
Jumaat, April 19, 2024
ADVERTISEMENTspot_img

Pemeriksaan Imigresen di Terminal Feri Labuan, tidak selari dengan Perjanjian Penyerahan Labuan kepada kerajaan Persekutuan

GAMBAR: TIDAK SELARI…. Samsudin menunjukkan dapatan  dalam  Perjanjian Penyerahan Labuan  antara kerajaan Sabah dengan kerajaan  Persekutuan mengenai  tidak ada keperluan untuk mengawal  kemasukan warga Sabah dan Labuan.

LABUAN:Setiausaha Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, Samsudin Sidek, berkata pelaksanaan pemeriksaan imigresen di terminal feri kenderaan Labuan tidak selari dengan perjanjian penyerahan Labuan kepada Kerajaan Persekutuan.

Justeru itu katanya, satu memorandum kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifudin Nasution akan diserahkan tidak lama lagi bagi melihat semula pelaksanaan pemeriksaan itu yang kini masih menjadi ketidak-puasan hati masyarakat tempatan.

“Hasil dapatan di Jabatan Muzium Malaysia Wilayah Labuan, kita dapati dalam perjanjian antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan, dalam penyerahan Labuan kepada Wilayah Persekutuan, perkara satu adalah; Rakyat Malaysia yang berasal dari Sabah yang bermastautin dalam Negeri Sabah dan di Labuan boleh berulang-alik secara bebas menyeberangi kedu-dua sempadan.

“Perjanjian ini harus dihormati demi kepentingan kesejahteraan warga tempatan,” katanya kepada media  di sini hari ini.

 Simsudin berkata pelaksanaan pemeriksaan imigresen ini sejak 1 November lepas telah  memberi ketidak-selesaan kepada warga Sabah dan Labuan yang berulang-alik ke tanah besar Sabah dan Labuan.

“Kita lihat tidak ada keperluan untuk warga Sabah dan Labuan harus menjalani pemeriksaan imigresen, berdasarkan perjanjian itu.

 “Yang memerlukan pemeriksaan imigresen adalah kepada mereka yang bukan berasal dari Sabah seperti warganegara dari Semenanjung Malaysia, dan seharusnya ada laluan khas kepada warga Sabah dan Labuan yang melalui terminal feri berkenaan,” katanya.

 Simsudin yang juga Ketua Bahagian PKR Labuan berkata, pelaksanaan pemeriksaan imigresen yang masih belum lancar dan tidak sistematik itu mengakibatkan barisan panjang kenderaan dan kesesakan di Jalan Merdeka setiap hari.

“Keadaan lebih teruk adalah di terminal feri Menumbok yang melihat mereka yang bekeluarga dan anak-anak kecil serta ibu bapa yang sudah tua terpaksa berbaris sejam untuk pemeriksaan imigresen untuk pulang ke Labuan.

“Kenapa perlu ada pemeriksaan imigresen sempadan kepada warga tempatan kembali ke kampung halaman sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, memorandum berkenaan turut melampirkan halaman salinan perjanjian penyerahaan Labuan kepada Wilayah Persekutuan untuk Menteri berkenaan membuat penilaian semula.

Kementerian Dalam Negeri pada 10 Sept lepas mengarahkan Jabatan Imigresen menguatkuasakan kawalan yang ketat di dua terminal di Labuan, terutama bagi pelancong bukan rakyat Sabah yang menuju ke tanah besar Sabah.

Bekas Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kawalan ketat itu bagi memastikan tidak akan ada aliran bebas pelancong di pintu utama terminal feri ke Sabah melalui jeti Tanjung Pagar Sipitang, Menumbok dan Jesselton.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN