Mohd Rafi (dua dari kiri) bersama Khalid mengusung keranda Allahyarham sebelum di semadikan di Tanah perkuburan orang Islam Kampung Lajau.
LABUAN: Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Ali Hassan menyifatkan pemergian Setiausaha UMNO Bahagian Labuan, Allahyarham Suhaili Amir adalah satu kehilangan besar kepada diri beliau dan warga UMNO Labuan.
Mohd Rafi yang juga Ahli Majlis Tertinggi (AMT) UMNO berkata banyak jasa di curahkan bukan sahaja kepada UMNO Bahagian Labuan tetapi juga kepada masyarakat keseluruhannya.
“Allahyarham bukan sekadar seorang sahabat, tetapi seorang abang saya dan pemimpin yang tidak pernah kenal erti penat dalam memastikan perjuangan UMNO terus kukuh di bumi Labuan.
“Keikhlasan dan kesungguhan beliau dalam memperjuangkan ahli Umno dan warganya menjadi kenangan yang terpahat dalam sanubari kita semua.
“Kami kehilangan seorang yang sentiasa mendahulukan kepentingan perjuangan berbanding kepentingan dirinya.” katanya ketika ditemui selepas menziarahi Allahyarham di kediamannya di Kampung Lajau pada pagi ini (Jumaat).

Sebelum ini Allahyarham pernah memegang pelbagai jawatan dalam parti antara Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Lajau, Ketua UMNO Cawangan Kampung Lajau, Setiusaha Pergerakan Pemuda UMNO dan AJK UMNO Bahagian.
Sementara itu Mohd Rafi turut mendoakan roh Allahyarham dicucuri rahmat Allah SWT diampunkan segala dosanya serta ditempatkan bersama sama orang yang beriman dan beramal soleh.
Allahyarham, 56 tahun disahkan meninggal dunia di hospital Labuan kira kira jam 6.35 petang pada Khamis akibat penyakit kanser yang dihadapinya hampir dua tahun.
Beliau meniggalkan seorang isteri da 4 orang anak serta dua orang cucu.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah perkuburan orang orang Islam Kampung Lajau sebelum sembahyang Jumaat iaitu kira kira jam 10 pagi.
Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian, Datuk Bashir Alias, Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Khalid Ghani, Ketua Pegawai Eksekutif LDA Holding, Noor Halim Datuk Zaini serta sahabat sahabat Allahyarham.