Riduan (ketiga dari kanan) bersama Rubin (kelima dari kanan) bersama tetamu yang hadir menikmati jamuan pada majlis rumah terbuka itu.
TENOM: Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin menyambut pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai rancangan naiktaraf utama untuk mentransformasi Hospital Queen Elizabeth 2 menjadi Pusat Jantung Sabah bernilai RM80 juta.
Katanya, berita pengumuman daripada Perdana Menteri mengenai pembinaan hospital berkaitan dengan jantung yang kedua terbesar di negara ini sudah lama dinanti-nantikan oleh rakyat Sabah.
Ini katanya, kerana pada masa ini pesakit-pesakit jantung terpaksa berangkat ke Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan dan juga pemeriksaan kesihatan disebabkan keadaan hospital kerajaan di Sabah pada masa kini masih lagi dalam keadaan kurang memuaskan.
“Jadi langkah pengumuman Perdana Menteri sangat-sangatlah menyantuni nadi rakyat negeri Sabah” katanya ketika diminta mengulas pengumuman pengwujudan Pusat Jantung Sabah itu.
Riduan ditemui semasa rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihoskan oleh ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang dan Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin di Dewan Datuk Seri Panglima Antenom di sini baru-baru ini.
Pada Sabtu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan naiktaraf utama untuk mentransformasi Hospital Queen Elizabeth 2 menjadi Pusat Jantung Sabah.
Pengumuman itu dibuat semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (SICC) di Kota Kinabalu.
Perdana Menteri berkata, ini akan menjadikan pusat jantung kedua terbesar di negara ini selepas Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Mengenai Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri yang dihadiri oleh kira-kira 5,000 masyarakat pelbagai kaum dan agama itu Riduan berkata, ia menunjukkan semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat di kawasan ini.
“Sebagai hos penganjur bersama dengan ADUN Kemabong, saya merakamkan penghargaan yang tidak terhingga atas kehadiran masyarakat yang begitu ramai” katanya.
Pada majlis itu penyampaian hadiah pertandingan pelita raya surau/masjid yang menyaksikan Masjid Nurul Huda Kuala Tomani sebagai juara manakala naib johan dan tempat ketiga masing-masing disandang oleh Masjid Al Amin Mandalom dan Masjid Syeikh Abdullah Saga laut.
Sementara itu tempat keempat dan kelima masing-masing diduduki oleh Surau Al Ishan Kampung Cita Mata Bukit dan Surau Al Falah Bunut.
Penerima saguhati dalam pertandingan itu terdiri daripada Masjid Nurul Islamiah Pamilaan, Surau As Syakirin Ulloi Tengah, Masjid Haji Azmi Sugiang Lama, Surau Nurul Iman Angan-Angan dan Surau Al Amin Kampung Paal Laut.
Hadiah disampaikan oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEANS) Jumain Abdul Ghani
Majlis itu turut dihadiri oleh Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Flovia Ng, Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah Melalap Datuk Haji Jamawi Jaafar, Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STARSABAH) Melalap Alviana Linus, ketua-ketua jabatan dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.