LAWAT…..Ahmad Marzuk ketika meninjau perkembangan pembinaan masjid Kampung Sungai Bedaun di sini, pada Sabtu.
Oleh: Jainudin Djimin
LABUAN: Penduduk Kampung Sungai Bedaun di sini, bakal mempunyai masjid baharu yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan dijangka dapat digunakan sepenuhnya pada Jun tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary berkata, masjid yang menelan belanja RM8.6 juta itu serta boleh menampung sehingga 1,000 jemaah dalam satu satu masa kini sudahpun 80 peratus siap.
“Saya telah melawat projek pembinaan masjid Kampung Sungai Bedaun untuk kali kedua, sebelum ini beberapa bulan yang lalu saya telah melawat pembinaan awalnya yang kini hampir 80 peratus siap… insyallah pada bulan Jun ini ia akan dapat digunakan oleh jemaah” katanya ketika ditemui media pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anak Yatim dan Asnaf di Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persejutuan (MAIWP) di sini, pada Sabtu.

MASJID baharu Kampung Sungai Bedaun yang dijangka siap sepenuhnya Jun tahun ini.
Terdahulu sebelum itu beliau yang dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Labuan untuk menyampaikan bantuan MAIWP serta mengadakan lawatan ke beberapa projek pembangunan yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Selain itu, beliau turut meninjau tapak pembinaan Sekolah Menengah Agama di Kampung Sungai Bedaun berhampiran dengan masjid baharu yang sedang dalam pembinaan.
Beliau berkata, projek yang akan dilaksanakan di bawah Rancangan Malaysia ke 12 (RMK-12) itu kini sedang menunggu keputusan daripada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri untuk membolehkan projek bernilai lebih RM70 juta itu dilasanakan.
“ Kos pembinaan projek itu akan di biayai oleh Kerajaan Persekutuan dan apabila siap sepenuhnya ia akan dikelolakan oleh MAIWP” katanya.



