ROSAK….Jambatan Timbul Tenggalam yang rosak.
RANAU: Penduduk Kampung Togop Darat dan Kampung Togop Laut terletak kira-kira 40 kilometer dari pekan di sini, bakal menikmati jambatan baharu merentasi Sungai Kopuakan.
Mantan Ketua Kampung, Kg.Togop Darat, Daniel Gungatau 63, mewakili penduduk berterima kasih kepada kerajaan Negeri Sabah kerana prihatin dengan keperluan dan masalah dihadapi rakyat khususunya kawasan pedalaman.
“Selain penduduk kampung, jambatan baharu yang menggantikan jambatan timbul tenggalam sebelum ini turut memberi manfaat kepada para pendidik dan pelajar SK.Togop Darat,” katanya.
Sementara itu, jurucakap pembinaan jambatan itu pula, Jerome George 46, memberitahu pembinaan jambatan tersebut menelan kos RM10.5 juta itu akan dimulakan sebaik jentera (logistik) sampai.
Seorang lagi penduduk Kg.Togop Darat, Nazri Abdullah yang ditemui turut gembira dengan pembinaan jambatan tersebut.
Dalam masa yang sama, Nazri mencadangkan jambatan lama (Timbul Tenggalam) yang rosak akibat banjir dibaiki semula sebagai satu ‘Kenangan Abadi’ memandangkan jambatan itu satu-satunya jambatan pertama dibina di kawasan itu dan cukup berjasa kepada penduduk ke kawasan tanah pertanian mereka selain ke pekan Ranau.