25 C
Kota Kinabalu
Rabu, Januari 22, 2025
ADVERTISEMENTspot_img

Pembentukan kanak-kanak perlu bermula pada awal usia: Flovia


KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (KPMKR) Datuk Flovia Ng berkata, usaha bagi melatih kanak-kanak harus bermula di awal usia kerana pada awal usia, kanak-kanak ini lebih mudah dibentuk.


“Menyedari hakikat ini, kanak-kanak perlu didedahkan dengan pelbagai aktiviti di khususnya di tabika perpaduan untuk mempercepatkan lagi perkembangan kanak-kanak.


“Kepada semua ibu bapa, tanggungjawab terhadap pembentukan diri kanak-kanak adalah tanggungjawab kita bersama. ibu bapa adalah cerminan sebenar kepada kanak-kanak.


“Banyak perkara yang dilakukan oleh ibu bapa akan diikuti oleh kanak-kanak. dorongan ibu bapa amat penting untuk membolehkan kanak-kanak sentiasa bersemangat ke tabika dan seterusnya berjaya pada masa hadapan,” katanya.


Beliau juga mengingatkan agar ibu bapa sentiasa aktif dalam kegiatan-kegiatan di tabika memandangkan penglibatan mereka dalam jawatankuasa penyelaras tabika amatlah perlu bagi mewujudkan hubungan yang akrab antara tabika dengan ibu bapa.


“Aktiviti seperti mesyuarat, gotong royong, aktiviti lawatan dan sebagai adalah program yang memerlukan penglibatan ibu bapa. sekurang-kurangnya, ibu bapa juga dapat membantu memantau perkembangan kanak-kanak.


“Kerjasama yang erat antara ibu bapa dan institusi tabika yang boleh menjamin masa depan yang baik dalam kalangan kanak-kanak,” kata beliau.


Flovia yang juga ADUN Tulid berkata demikian semasa merasmikan Program Pintar Kreatif Tabika Perpaduan Daerah Kota Kinabalu bagi Tahun 2024 yang diadakan di sini baru-baru ini.


Seramai 120 murid tabika terlibat dalam program tersebut yang turut melibatkan para guru, ibubapa dan pegawai-pegawai JPNIN.


“Sesungguhnya, penganjuran program seperti ini amat tepat pada masanya apatahlagi sebahagian besar daripada kanak-kanak ini akan menginjak ke alam persekolahan sekolah rendah pada tahun hadapan.


“Justeru, pembelajaran serta pengalaman yang diterima pada hari ini amatlah penting sebagai bekalan dan panduan mereka agar mereka akan lebih bersedia berhadapan dengan keadaan dan situasi baharu di sekolah rendah nanti,” katanya.


Menurut beliau, Program Pintar Kreatif merupakan salah satu program yang diilhamkan dalam pelan pendidikan awal kanak-kanak.


Program itu, katanya, bertujuan untuk mencungkil bakat dan potensi kanak-kanak tabika perpaduan melalui pelaksanaan aktiviti.


“Beberapa aktiviti boleh dilaksanakan seperti tarian, nyanyian, rekacipta, persembahan boneka, puisi dan sajak, action song, taridra dan banyak lagi yang sesuai dengan perkembangan kanak-kanak.
“Program ini memastikan perkembangan kanak-kanak secara holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosio-emosi, keaktifan, disiplin serta inovasi.


“Apa yang pasti adalah, program-program yang dirancang ini haruslah berunsurkan elemen perpaduan, kenegaraan dan nilai-nilai murni,” katanya.


Menurut beliau, pada 24 julai 2021, Kementerian Perpaduan Negara telah melancarkan pelan pendidikan awal kanak-kanak tabika perpaduan 2021 – 2030 yang bermatlamat untuk memperkukuhkan dan memantapkan peranan tabika perpaduan.


Ia, katanya, bagi memperkasakan tabika perpaduan sebagai institusi pendidikan awal kanak-kanak dalam memperkembangkan potensi serta melahirkan kanak-kanak yang mempunyai semangat patriotisme dan mengamalkan nilai-nilai murni.


Tambah beliau lagi, pelbagai pendekatan dan program telah dilaksanakan dalam usaha meningkatkan kualiti tabika perpaduan secara insklusif.


Beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada jawatankuasa penganjur kerana memberikan peluang kepada beliau untuk hadir dan seterusnya menyempurnakan majlis ini.


“Pada kesempatan ini saya ingin menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih saya kepada semua warga pendidik Tabika Perpaduan Daerah Kota Kinabalu. Tanggungjawab menjaga kanak-kanak bukanlah hal yang mudah.


“Proses ini memerlukan ketabahan dan kesabaran. Ragam kanak-kanak terlalu banyak dan bukan mudah untuk dikendalikan. Kesabaran amat penting. Pengalaman kerja serta kematangan berinteraksi dengan kanak-kanak adalah satu keperluan.


“Juseru, guru-guru perlu terus diperkasakan agar dalam keadaan bagaimana sekalipun sentiasa dapat menjadi pendidik yang paling berkesan kepada kanak kanak. Terima kasih atas jasa dan bakti anda kepada semua kanak-kanak,” jelas beliau.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN