25 C
Kota Kinabalu
Rabu, Mac 11, 2026
ADVERTISEMENTspot_img

Pembayaran Balik Bon RM1 Bilion Dirancang Sejak 2014: Masidi

MASIDI

KOTA KINABALU: Pembayaran balik Bon Kerajaan Negeri Sabah berjumlah RM1 bilion pada 2019 bukanlah hasil pencapaian luar biasa pentadbiran Warisan, sebaliknya ia adalah hasil perancangan kewangan negeri yang telah ditetapkan sejak 2014, kata Menteri Kewangan Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Beliau berkata, kenyataan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Seri Shafie Apdal pada 12 Ogos lalu telah menimbulkan kekeliruan seolah-olah pembayaran itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh setahun pentadbiran parti tersebut.

Menurutnya, Bank Negara Malaysia menetapkan syarat penubuhan Kumpulan Wang Amanah Bagi Bayaran Balik Bon (Sinking Fund) bagi memastikan pembayaran penuh dapat dibuat apabila bon berkenaan yang diterbitkan pada Disember 2014 matang pada 2019.

“Rekod menunjukkan caruman dibuat secara berperingkat iaitu RM2 juta pada 2016, RM200 juta pada 2017, RM400 juta pada 2018 dan RM380 juta pada 2019, manakala baki RM18 juta diperoleh daripada faedah pelaburan dana itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi menegaskan dakwaan bahawa Warisan perlu mencari RM600 juta dalam masa beberapa bulan adalah tidak tepat kerana jadual pembayaran telah dirangka sejak awal dan peruntukan telah dimasukkan dalam belanjawan tahunan.

“Semasa pentadbiran Warisan, hanya satu pembayaran berjumlah RM380 juta yang dibentangkan, dan itu adalah tanggungjawab mana-mana kerajaan yang memegang kuasa ketika itu,” katanya.

Mengulas dakwaan Shafie bahawa RM500 juta hasil bon dibelanjakan di luar Sabah, Masidi menafikannya dan menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas serta mengelirukan rakyat.

Beliau berkata, rekod rasmi menunjukkan RM544 juta digunakan bagi membayar balik bon pertama yang diterbitkan pada 2009, manakala baki RM456 juta disalurkan untuk membiayai program pembangunan negeri yang diluluskan dalam Belanjawan Negeri 2014.

“Pembayaran balik bon adalah kewajipan mengikut undang-undang dan obligasi kontrak kerajaan negeri. Struktur kewangan yang membolehkan pembayaran ini telah diwujudkan sejak 2014, bukannya pada 2018,” katanya.

Masidi menegaskan kenyataan awam mengenai kewangan negeri perlu berpaksikan fakta yang didokumenkan, bukan berdasarkan angka terpilih atau naratif politik yang menguntungkan pihak tertentu.

ADVERTISEMENTspot_img
BERITA BERKAITAN