Dr. Joachim bersalaman dan menyantuni penduduk kampung ketika memasuki balairaya Kampung Tumbalang.
RANAU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak pernah mengabaikan rakyat, termasuk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang, tegas Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, semua projek pembangunan akan diteruskan termasuk pembinaan sebuah dewan mini di Kampung Tumbalang selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).
Dr. Joachim berkata demikian ketika menyantuni lebih 150 orang penduduk Kampung Tumbalang dalam Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di balai raya kampung, di sini, kelmarin (8 Ogos).
Dalam program itu, beliau turut memberi taklimat Program Penyukatan Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS) mengenai yang sedang dilaksanakan secara meluas di seluruh daerah.
Katanya, setiap permohonan PANTAS perlu memenuhi syarat tertentu termasuk tanah berkenaan telah atau pernah diusahakan.
“Semua permohonan juga hendaklah mempunyai jawatankuasa bertindak dan mendapat sokongan Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK,”jelas Dr. Joachim yang juga ADUN Kundasang.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kg Tumbalang, Sapulin Bangsawan merakamkan penghargaan kepada Dr. Joachim selaku wakil Kerajaan Negeri atas kemudahan yang telah diberikan, termasuk pembinaan jambatan gantung dan pemasangan lampu jalan.
Beliau turut memohon agar jambatan gantung sedia ada diselenggara demi keselamatan dan kemudahan penduduk.
Dalam majlis sama, Dr. Joachim bersama Pengerusi JKKK turut merasmikan jalan perkebunan dan jalan ke tanah perkuburan kampung berkenaan.
Terdahulu Dr. Joachim mengadakan mesyuarat taklimat (PANTAS) dengan penduduk Kampung Lobou Timbua dan mesyuarat persiapan menjelang PRN bersama dengan Induk, Pemuda dan Wanita (IPW) PBS DUN Kundasang di pejabat ADUN Kundasang.
Turut hadir ialah Setiausaha Politik Dr Joachim, Yubidi Gumpoyo; Ketua Daerah, OKK Dominic Ghanie; Pemimpin Pembangunan Masyarakat, Dounis Sani; serta Ketua-ketua Kampung.



