SIMBOLIK…. Tseu (enam dari kanan) ketika merasmikan pemasaran produk IKS Sabah di Fasarina Express Mart sambil diperhatikan Anita (enam dari kiri) dan Fauziah (lima dari kiri).
LABUAN:Pemasaran pelbagai produk yang dihasilkan oleh usahawan IKS Sabah di Fasarina Express Mart Wilayah Persekutuan Labuan sejak enam bulan lalu terus mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengguna di pulau ini.
Pemilik syarikat Fasarina Express Mart, Hajah Fauziah Datuk Mohd Din berkata, penjualan produk yang dihasilkan oleh usahawan IKS dari Sabah bukan sahaja memberangsangkan tetapi menjadikan nilai tambah kepada perniagaan mereka yang mempunyai pelbagai barangan dan produk tempatan untuk pilihan pengguna.
“Sesungguhnya kemasukan produk-produk IKS yang dihasilkan oleh usahawan Sabah yang dipasarkan di kedai kami telah menjadi nilai tambah kepada perniagaan kami dengan menyaksikan pelbagai barangan dan produk tempatan untuk pilihan pengguna dan pelanggan kami” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penjualan Produk IKS Sabah di Kedai Fasarina Express Mart, Jalan Patau-Patau, pada Sabtu.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah, Tseu Kei Yue.
Hadir sama, Presiden Persatuan Dewan Usahawan Sabah, Anita Mohamad dan Presiden SME Labuan, Jefery Tan.
Fauziah juga berharap kedainya (Fasarina) akan menjadi tumpuan para pelancong tempatan dan luar sebagai salah satu tempat membeli belah untuk produk produk tempatan sebagai cendarahati mereka.
“Justeru itu kami berharap agar pihak berkuasa tempatan dan pihak pihak yang berkaitan serta pihak agensi pelancongan dapat mempromosikan pusat penjualan kami” katanya.
Beliau juga yakin dengan adanya usaha mempromosikan produk-produk tempatan yang dipasarkan di Fasarina Express Mart sedikit sebanyak mampu membantu merancakkan semula ekonomi Labuan, kemasukan pelancong akan memberi impak besar kepada pelbagai pihak industri pernaigaan di pulau ini.
Fauziah yang mempunyai pengalaman luas dalam industri perniagaan menzahirkan rasa bangga dengan Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan Sabah kerana membantu memasarkan produk-produk usahawan Sabah dan ini sekaligus membantu meningkatkan keyakinan para usahawan dengan berusaha memperbaiki mutu produk masing-masing.
Untuk rekod, ketika ini sebanyak 204 produk IKS Sabah telah dipasarkan di Fasarina Express Mart berbanding 30 jenis produk sejak ia diperluaskan pemasarannya di Fasarina Express Mart enam bulan lalu.