Walter (duduk tengah) bergambar bersama dengan ahli-ahli dan Ahli Jawatankuasa Pemadam Daerah selepas mesyuarat itu.
KENINGAU: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) daerah Keningau akan mesasarkan pemimpin-pemimpin masyarakat dan pelajar-pelajar sekolah di daerah ini sebagai ahli Pemadam pada kempen keahlian tahun ini dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat bahayanya dadah.
Pengerusi PEMADAM Daerah, Walter Kenson berkata, sasaran utamanya adalah kepada Ketua-Ketua Kampung, Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Pengerusi=Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah.
“Sebagai pemimpin-pemimpin akar umbi di peringkat kampung sudah pasti mereka ini adalah orang yang paling dekat dengan masyarakat dikampung berkenaan dan mereka boleh memainkan peranan utama dalam pencegahan penyalahgunaan dadah ke atas penduduk-penduduk di bawah jagaan mereka,” katanya semasa berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan PEMADAM Daerah di Hotel Perkasa di sini.
Walter berkata, selain itu, sekolah-sekolah menangah di sini turut digalakkan menjadi ahli Pemadam dan ini juga sebagai langkah awal Pemadam untuk memberikan kesedaran kepada pelajar-pelajar tentang bahayanya dadah.
Beliau berharap semua ahli-ahli dan Ahli Jawatankuasa Pemadam daerah memainkan peranan utama dalam menjayakan kempen keahlian ini dan ini adalah usaha murni membantu kerajaan membasmi dadah di negara ini.
Pada masa yang sama, beliau yang juga Pegawai Daerah berkata, sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pemadam berperanan membantu mereka yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah sama ada memberi kaunseling, nasihat ataupun teguran.
“Selain itu, memberikan kesedaran melalui program-program kepada mereka yang belum terlibat dengan dadah dan mengurangkan kadar yang mungkin terlibat melalui kempen-kempen kesedaran melalui program-program ceramah yang dapat menyedarkan orang tentang bahayanya dadah terutama sekali golongan belia dan masyarakat.
“Melalui kesedaran sudah tentu masyarakat akan menjauhkan diri daripada dadah setelah memahami kesan negatif yang mungkin timbul sekiranya mereka termasuk dalam golongan penyalahgunaan dadah,” katanya.
Walter berkata, Pemadam juga membantu membasmi dadah melalui kerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasa khususnya Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia dari segi memberi maklumat melalui data-data terperinci mengenai kadar penggunaan dadah di kampung-kampung berkenaan.
“AADK dan Polis adalah penguatkuasa sementera Pemadam menjalankan peranan membantu dengan cara halus iaitu memberikan maklumat, memujuk orang dan memberikan kesedaran melalui program-program yang boleh meningkatkan kesedaran,” katanya.
Kira-kira 50 ahli Pemadam hadir pada mesyuarat hari ini dengan mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan.