Pelbagai proses penelitian dibuat, KPM nafi ketidaktepatan Fakta Penubuhan Malaysia dalam buku teks sejarah

Pelbagai proses penelitian dibuat, KPM nafi ketidaktepatan Fakta Penubuhan Malaysia dalam buku teks sejarah

04/10/2021 Off By Admin

KUALA LUMPUR: Kandungan sejarah berkaitan Pembentukan Malaysia dalam buku teks Sejarah di peringkat sekolah rendah dan menengah telah diteliti dan diperakui sah oleh Panel Pakar Rujuk Kurikulum Sejarah dan buku teks Sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sebelum diterbitkan.

Menterinya Datuk Dr Radzi Jidin berkata, sejarah berkaitan Pembentukan Malaysia telah dimasukkan dalam kurikulum Sejarah Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM).

“Pembentukan Malaysia 1963 merupakan peristiwa bersejarah bagi negara yang perlu dipelajari oleh semua murid mengikut aras dan tahap keupayaan mereka.

“Dalam kandungan kurikulum tersebut, turut ditekankan tentang penerapan elemen kewarganegaraan dan nilai sivik serta kemahiran pemikiran Sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu jawapan bertulis terhadap soalan yang dibangkitkan Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dalam Perbahasan Titah Diraja Persidangan Parlimen Dewan Rakyat baru-baru ini.

Dalam soalannya Madius meminta Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan supaya memperbetulkan fakta-fakta sejarah tersebut tentang penubuhan Malaysia dalam Buku Teks Sejarah.

Menurut Radzi, Sejarah Pembentukan Malaysia 1963 dalam kurikulum sejarah KSSR dan KSSM telah mengambil kira cadangan dan dapatan daripada laporan Kajian Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dari 2011 hingga 2012.

“Di samping itu, sesi libat urus bersama-sama pihak berkepentingan dari Sabah dan Sarawak termasuk pensyarah Sejarah daripada universiti awam (UA), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) serta badan-badan berautoriti mengenai sejarah negara termasuk Jabatan Muzium Negeri dan Arkib,” katanya.